BENTONG - Orang ramai dialu-alukan memberi cadangan untuk menambah baik Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman bagaimanapun berkata, komen yang diberikan haruslah dalam bentuk membina dan bukanlah persepsi jahat mendakwa akta tersebut akan melebihkan pemaju dan meminggirkan orang miskin.
Malah katanya, ada yang sanggup menuduh bahawa akta tersebut ingin mengusir orang Melayu di kawasan bandar.
"Ini adalah tuduhan jahat yang tidak berlandaskan fakta dan hanya akan menyebabkan golongan miskin bandar berterusan terperangkap di dalam kawasan perumahan yang tidak selamat, usang dan membahayakan masa depan penduduk khususnya anak-anak mereka.
"Kerajaan telah menyatakan bahawa status tanah tidak berubah, jika tanah itu ialah rizab Melayu, ia kekal sebagai rizab Melayu; jika pajakan 99 tahun, ia juga akan kekal begitu dan sekiranya statusnya ialah pegangan bebas (freehold), maka statusnya tetap sama. Tiada isu perkauman di sini," katanya di Facebook pada Selasa.
Ujarnya, sejak tahun lalu kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memperkenalkan Akta PSB bertujuan untuk menyediakan kerangka undang-undang yang lebih sistematik bagi memastikan pembangunan bandar yang lestari, selamat dan model perumahan yang bermaruah serta sesuai diduduki.
"Kita semua mengetahui tentang wujudnya kawasan-kawasan perumahan yang usang, uzur dan tidak teratur khususnya di flat-flat kos rendah yang banyak diduduki oleh rakyat berpendapatan rendah.
"Ketiadaan fasiliti yang kondusif, ketiadaan badan pengurusan yang bertanggungjawab menyelenggara bangunan melibatkan pengurusan sampah, keselamatan dan sebagainya telah menyebabkan banyak kawasan-kawasan ini terdedah kepada risiko jenayah, pengabaian sosial, isu rumah tangga, masalah keciciran pendidikan dan sebagainya.
"Untuk menyelesaikan perkara ini, kita memerlukan peruntukan undang-undang baharu yang khusus dan sistematik bagi melindungi dan mengimbangi kepentingan penduduk dan pembaharuan semula oleh pihak pemaju," tambahnya.
Young Syefura menegaskan, di bawah Akta PSB, nilai ambang persetujuan yang dicadangkan ialah 75 peratus bagi bangunan yang melebihi 30 tahun, 80 peratus bagi bangunan kurang daripada 30 tahun serta 51 peratus bagi bangunan terbiar dan terbengkalai.
"Saya faham bahawa mungkin kadar nilai ambang ini menjadi pertikaian sesetengah pihak, akan tetapi rundingan masih dijalankan dan kadar nilai ambang mestilah diturunkan daripada 100 peratus.
"Kita tidak mahu berlaku kes seperti di Desa Kudalari di Jalan Tun Razak yang mana pembaharuan semula rumah pangsa tidak dapat dijalankan hanya kerana seorang pemilik sahaja tidak bersetuju. Nilai ambang 100 peratus ini ternyata tidak praktikal dan menyukarkan proses pembaharuan semula rumah-rumah usang ini," jelasnya lagi.
Ujarnya, baru-baru ini beliau mengikuti program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu melawat kawasan-kawasan perumahan yang dicadangkan untuk dibangunkan antaranya di Flat Taman Desa Bakti, Batu Caves, Selangor.
"Hasil rundingan bersama pemaju dan penduduk, antara tawaran pembangunan semula flat tersebut termasuklah pemaju akan menanggung kesemua kos guaman, caj pindah milik Unit Rumah Gantian baharu dan kos penyelenggaraan selama tiga tahun.
"Pemilik yang menduduki unit rumah sedia ada akan mendapatkan dana kos perpindahan berjumlah RM6,000," katanya.
Menurutnya, tiga pilihan diberikan kepada 148 pemilik flat sedia ada, antara pilihan yang ada ialah sekiranya pemilik menanggung sendiri segala kos sewaan unit rumah sewaan sementara selama 48 bulan, pemilik akan mendapat unit rumah gantian baharu berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan anggaran nilai rumah berjumlah RM520,000.
Tambahnya, jika pemilik berkongsi kos sewaan unit rumah sewaan sementara bersama pemaju, iaitu pemaju membayar sebanyak RM800 sebulan selama 48 bulan, pemilik akan mendapat unit rumah baharu berkeluasan 900 kaki persegi.
Young Syefura menjelaskan, jika pemilik menolak unit rumah baru, mereka akan menerima gantian wang tunai sebanyak RM200,000.
"Saya berpendapat tawaran-tawaran ini adalah munasabah dan mengambil kira kebajikan penduduk.
"Saya juga yakin pihak kerajaan juga sedang meneliti kaedah terbaik bagi memastikan kadar yuran penyelenggaraan untuk unit baharu kelak adalah berpatutan dan punyai mekanisme yang lestari dalam membiayai kos penyelenggaraan bangunan baharu itu kelak.
"Ini sudah tentu melibatkan cabaran penguatkuasaan kutipan kepada pemilik unit rumah gantian baharu nanti. Saya fikir sudah tentu kerajaan akan mempertimbangkan suntikan geran kepada badan pengurusan bersama (JMB) yang dilantik kelak untuk memastikan kawasan perumahan yang telah diperbaharui dapat dijaga dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua pihak untuk berlapang dada membaca dan mengkaji akta berkenaan, memberi pendapat yang sewajarnya serta mengelakkan persepsi yang negatif.
"Ini adalah akta untuk membantu golongan miskin bandar mendapatkan kehidupan sosial yang bermaruah, kondusif serta kejiranan yang lestari," ujarnya.