KUALA LUMPUR –"Mereka mendakwa sebagai anggota polis sebelum mengarahkan dia turun dari kenderaan.”
Demikian pendedahan seorang pemandu e-hailing yang sepatutnya membawa Pamela Ling Yueh, 42, ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu, sebelum wanita itu didakwa dilarikan oleh beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Menurut saksi dikenali sebagai Kok, 50-an, kesemua individu terbabit berpakaian menyerupai seragam polis, manakala seorang daripadanya memakai vest bertulis ‘Polis’.
"Ketika dalam perjalanan, tiga buah kereta muncul dan mengepung kenderaan saya dari arah depan, belakang dan sisi.
"Tiga lelaki keluar dari kenderaan tersebut, menghampiri saya dan memaklumkan bahawa penumpang saya akan ditahan bagi membantu siasatan berdasarkan satu laporan polis,” katanya pada Selasa.
Jelasnya, pada mulanya Pamela enggan keluar dari kenderaan, menyebabkan seorang wanita berseragam cuba menariknya keluar secara paksa.
"Kemudian, dua lelaki terbabit memberi penjelasan kononnya ini adalah satu tangkapan dan dia (Pamela) akan dibawa ke balai polis berdekatan.
"Pamela akhirnya akur dan sebelum keluar, dia sempat memberi saya RM100 sebagai bayaran tambang,” ujarnya.
Tambah Kok, dia turut diarahkan menekan butang ‘complete job’ dalam aplikasi Grab, sebelum kad pengenalan, lesen memandu dan nombor telefonnya diambil oleh kumpulan berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mangsa dilarikan oleh anggota polis sebenar atau individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita dipercayai hilang selepas gagal hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.