JOHOR BAHRU - Walaupun terpaksa berjauhan hampir setahun dengan suami masing-masing, isteri kepada anggota pasukan MALBATT 850-12 tetap tabah dan reda menghadapi cabaran mengurus keluarga.
Bagi Nur Fazliana Mazli, 33, isteri kepada Koperal Muhammad Fared Amran, pengalaman berjauhan dengan suami bukanlah sesuatu yang asing. Namun, penugasan kali ini merupakan tempoh paling lama mereka berjauhan.
"Dulu suami pernah terlibat dalam operasi, tetapi kali ini paling lama. Mujurlah saya sudah biasa mengurus anak-anak sendiri.
"Cuma kali ini lebih mencabar kerana anak kami menghidap masalah jantung berlubang sejak lahir. Alhamdulillah, doktor maklumkan keadaannya makin baik, jadi saya teruskan rawatan susulan seperti biasa.
"Saya pernah pujuk suami agar tidak bertugas ke luar negara, tetapi akhirnya saya akur dan beri sokongan penuh demi tanggungjawabnya kepada negara,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Ramah Mesra Panglima Tentera Darat dan Pengerusi Jemaah Bakat Darat bersama keluarga MALBATT 850-12 di Wisma Bintara, Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja di sini pada Isnin.
Majlis turut diserikan dengan sesi sidang video secara langsung dari Kem Marakah dan Tibnine di Lubnan, membolehkan anggota MALBATT 850-12 berinteraksi dengan keluarga masing-masing.
Menurut Nur Fazliana, kemudahan panggilan video (VC) sangat membantu mengurangkan rasa rindu terhadap suaminya.
"Dulu, kadang-kadang hanya dapat bercakap sekali sehari. Tapi sekarang dengan VC, lebih mudah dan dapat melihat wajahnya. Anak pun boleh berbual dengannya,” katanya.
Sementara itu, Anisah Mohd Haluan, 34, isteri kepada Mejar Muhammad Aminnorashid Muhammad Jamal, 34, pula mengakui sukar menahan rasa sedih berjauhan dengan suami tersayang.
Namun, Anisah yang berkahwin pada 2016 tetap menyatakan rasa bangga terhadap tugas suaminya yang menyumbang kepada keamanan sejagat.
"Memang sedih, tapi saya faham dan bangga kerana dia bertugas untuk keamanan dunia.
"Cuma saya sedikit risau sebab keadaan di sana makin tidak menentu dengan serangan dan pergolakan yang berlaku.
"Apa pun, saya sentiasa berdoa agar semua kembali aman dan semua anggota MALBATT 850-12, termasuk suami saya, pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Untuk rekod, pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan kembali ke tanah air sekitar November ini selepas tamat tempoh penugasan bersama pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.