ISKANDAR PUTERI – Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 yang berlangsung di lokasi kedua, Mydin Mutiara Rini pada Rabu, terus mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 1,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis berbuka puasa tersebut.
Menariknya, kehadiran bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam, malah turut disertai kaum lain, sekali gus menjadikan suasana cukup meriah dan berfungsi sebagai platform mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad berkata, Jelajah Iftar Sinar Mydin bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya membawa makna besar kepada komuniti.
“Ia merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sangat baik dalam membantu golongan kurang berkemampuan selain mencerminkan keprihatinan pihak korporat terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, suasana majlis jelas menggambarkan semangat kekeluargaan apabila pengunjung hadir bersama ibu bapa, anak-anak serta rakan daripada pelbagai bangsa.
“Keadaannya seperti kita semua satu keluarga dalam Mydin Mutiara Rini ini,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan sumbangan baju raya kepada pelajar Madrasah al-Quran Sinaran Baru, selain sesi perkongsian motivasi Ramadan oleh Naufal Isa.
Sementara itu, Duta Perpaduan Johor, Lim San Shien memuji usaha penganjuran Jelajah Iftar Mydin yang disifatkan mampu mengeratkan hubungan antara kaum serta memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap Ramadan.
“Iftar bukan sekadar waktu untuk berbuka puasa, sebaliknya detik bermakna untuk keluarga dan rakan berkumpul serta berkongsi rezeki,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Pemasaran Pacific West Food, Tan Teck Siong berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan jualan menjelang Ramadan dan Syawal menerusi pengenalan dua produk baharu iaitu seafood fries dan tomyam nuget.
“Kami gembira dapat bersama dalam Jelajah Iftar bersama Mydin. Selain merancakkan jualan melalui promosi produk baharu, ia juga dijangka dapat memperkukuh capaian jenama,” katanya.
Bagi pelajar Kolej Yayasan Melaka, Muhamad Aiman Baharudin, 22, dari Taman Seri Orkid, Iskandar Puteri, pengalaman menyertai Jelajah Iftar buat pertama kali bersama ibu, nenek dan pakciknya amat mengujakan.
Dalam pada itu, guru, Nadia Osman, 43, yang hadir bersama adik dan empat anaknya mengakui mengetahui mengenai program berkenaan menerusi Facebook selepas pautan dikongsi kariah Masjid Mutiara Rini.
“Biasanya kami datang untuk beli-belah, tetapi kali ini dapat berbuka puasa bersama-sama dalam suasana sangat bermakna,” katanya.