[VIDEO] 6 tahun jadi tukang urut tanpa permit, warga asing dibayar RM100 sehari dicekup

Iklan

KUALA LUMPUR - Cubaan seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang urut untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) gagal apabila dia diberkas dalam satu operasi di Bukit Bintang di sini pada malam Isnin.

Wanita berusia 42 tahun itu dilaporkan panik dan cuba melarikan diri sebaik sahaja melihat kehadiran pihak penguat kuasa JIM dalam serbuan yang dijalankan pada jam 10 malam.

Iklan
Iklan

Difahamkan, wanita tersebut tidak memiliki permit kerja yang sah dan telah bekerja sebagai tukang urut selama enam tahun dengan bayaran harian sebanyak RM100.

Dia turut mendakwa bahawa kos mendapatkan permit kerja di Malaysia terlalu tinggi.

Iklan

Wanita itu merupakan antara 64 pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan JIM di beberapa premis perniagaan di Taman Seri Sentosa dan pusat urut di sekitar Bukit Bintang.

Antara wanita warga asing yang ditahan dalam Ops JIM di Bukit Bintang pada Isnin.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, seramai 39 lelaki dan 25 wanita warga asing telah ditahan dalam operasi berkenaan.

Iklan

"Mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, Bangladesh, dan Nepal,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Bukit Bintang di sini pada Isnin.

Menurut beliau, operasi itu melibatkan 55 pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu.

"Sebanyak 15 borang saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi ini,” tambahnya.

Jafri memaklumkan bahawa semua warga asing yang ditahan, berumur antara 18 hingga 60 tahun, telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.