KUANTAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas senapang buatan sendiri dipercayai meletup terkena jari kelingking dan dada ketika keluar memburu bersama enam rakan di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian yang menimpa mangsa berusia 62 tahun itu dilaporkan berlaku pada Ahad lalu.
Menurutnya, laporan berhubung kejadian dibuat oleh seorang lelaki berusia 54 tahun selaku pengadu.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Isnin mendapati punca kematian mangsa adalah akibat terkena tembakan di bahagian dada dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Yahaya berkata, hasil siasatan lanjut mendapati polis telah menahan enam lelaki berusia antara 35 hingga 67 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram.
Beliau berkata, polis turut merampas lima laras senapang patah buatan sendiri dan satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.
"Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Polis Kontinjen Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau senjata tanpa lesen yang sah.
"Mana-mana individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen yang sah diarah agar segera menyerahkannya kepada pihak polis sebelum tindakan tegas diambil,” katanya.