SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak tegas merobohkan dua kiosk di Taman Awam, Seksyen 10 di sini selepas pemilik premis berkenaan didapati melanggar syarat penyewaan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Operasi bersepadu melibatkan beberapa jabatan utama MBSA termasuk Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Landskap, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perundangan serta Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa.
MBSA dalam kenyataan memaklumkan, sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, peniaga terbabit telah diberi beberapa notis termasuk teguran lisan, notis amaran serta notis meroboh binaan tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, peniaga gagal mematuhi arahan yang diberikan.
"Tindakan ini diambil selepas segala saluran peringatan dan amaran tidak diendahkan.
"MBSA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penyewa premis Majlis yang melanggar syarat ditetapkan, terutamanya di kawasan awam yang menjadi tumpuan masyarakat,” kata kenyataan itu.
Operasi berkenaan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan daripada semua jabatan terbabit, yang menunjukkan keseriusan MBSA dalam memastikan ketertiban kawasan awam sentiasa terpelihara.
MBSA juga menegaskan bahawa sebarang bentuk penyalahgunaan premis atau pengubahsuaian tanpa kelulusan boleh dikenakan tindakan serta-merta, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.