PUTRAJAYA - Aktiviti persundalan berselindung di sebalik premis tanpa nama akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan satu operasi khas di sekitar Pandan Perdana, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor pada Ahad.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kedai dan kediaman di dua lokasi tersebut.
Dalam serbuan itu, beliau berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai sebagai penjaga premis.
"Turut ditahan, dua lelaki warganegara Vietnam, tujuh perempuan warganegara Vietnam, empat perempuan warganegara Indonesia dan satu perempuan warganegara Laos.
"Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 16 orang. Kesemua mereka berusia di antara 19 hingga 61 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ismail berkata, semakan awal mendapati satu perempuan warganegara Vietnam dan satu perempuan warganegara Laos memiliki pas lawatan (sosial) yang masih sah laku.
Katanya lagi, dua lelaki warganegara Vietnam telah tinggal lebih masa, manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Menurutnya, pasukan operasi juga telah menyita 19 unit telefon bimbit, lima pasport Vietnam, satu pasport Laos, buku rekod kerja serta buku urusniaga.
"Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan pelacuran wanita warga asing dengan mengiklanan perkhidmatan yang ditawarkan melalui aplikasi media sosial untuk mendapatkan pelanggan.
"Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan adalah sebanyak RM250 hingga RM1,200 untuk sekali perkhidmatan seks dan transaksi bayaran secara tunai atau dalam talian," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu katanya, dua wanita warganegara Laos dan satu wanita warganegara Vietnam telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat JIM bagi membantu siasatan.
"JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," tegasnya.