Mekanik rugi RM230,000 selepas rumah dipecah masuk, kereta dicuri

Iklan
Rakaman CCTV yang memaparkan kejadian kereta mangsa dilarikan pencuri pada Jumaat lalu.

MUAR – Seorang mekanik mengalami kerugian kira-kira RM230,000 apabila rumahnya dipecah masuk dan kereta jenis Lexus miliknya dilarikan dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bakri, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian disedari mangsa berusia 38 tahun selepas dihubungi jirannya yang terdengar bunyi mencurigakan dari arah rumah sekitar jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang berada di tempat kerja segera pulang dan mendapati rumah dalam keadaan berselerak. Sebuah kenderaan jenis Lexus yang diletakkan di hadapan rumah turut didapati hilang.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memecah masuk rumah dan melarikan wang tunai serta kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, atau sehingga 14 tahun jika melibatkan kecurian.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda,” katanya.

Iklan

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah keselamatan tambahan seperti memasang sistem penggera, kamera litar tertutup (CCTV), pengunci tambahan dan sentiasa memantau keadaan rumah.

"Kerjasama masyarakat amat penting bagi mencegah jenayah dan memastikan kawasan perumahan kekal selamat,” ujarnya.