KOTA BELUD- Penternak ayam di Kampung Rampayan Ulu, di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila kira-kira 20,000 ekor ayam ternakannya mati akibat kebakaran pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kandang ayam jenis separuh kekal yang menempatkan ternakan ayam tersebut terbakar sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari.
Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 31 kilometer dari BBP Kota Belud.
"Sebaik tiba, kejadian melibatkan sebuah kandang ternakan ayam telah terbakar 95 peratus dan usaha memadamkan api segera dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera dan tangki simpanan kandang tersebut.
"Api berjaya dikawal pada jam 1.56 tengah hari dan hasil pemeriksaan, tiada mangsa dilaporkan namun ayam ternakan yang dianggarkan sebanyak 20,000 ekor telah terkorban," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 2 petang pemeriksaan dibuat bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut.
"Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.