SHAH ALAM – Pemaparan harga ubat di premis kesihatan swasta dilihat sebagai usaha ke arah menyediakan akses rawatan yang lebih adil dan mampu milik kepada semua lapisan masyarakat, khususnya dalam keadaan kos perubatan yang semakin meningkat.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, dasar ini bukanlah satu bentuk kawalan harga ubat, sebaliknya merupakan inisiatif ke arah ketelusan maklumat dan hak pengguna untuk mengetahui harga ubat yang dijual.
Menurutnya, langkah itu turut membuka ruang kepada persaingan sihat dalam sektor kesihatan swasta, yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
"Kami menyokong langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memperkenalkan dasar pemaparan harga ubat di premis kesihatan swasta.
"Langkah ini adalah hasil libat urus menyeluruh oleh KKM bersama semua pihak berkepentingan termasuk pengamal perubatan swasta dari klinik dan hospital swasta lebih setahun lalu.
"Pendekatan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan suara semua pihak diambil kira sebelum sesuatu dasar dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, kerajaan mewajibkan semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta untuk mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan bahawa langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).
Tambah Adnan, Cuepacs juga menyambut baik syor yang telah lama dikemukakan oleh pelbagai persatuan pengguna yang mahukan ketelusan harga ubat bagi membolehkan rakyat membuat pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.
Ujarnya, Cuepacs turut menghargai pendekatan berhemah kerajaan yang memberikan tempoh tiga bulan kepada semua pihak terlibat untuk melaksanakan dasar tersebut tanpa tindakan penguatkuasaan.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan mengutamakan kerjasama, persediaan dan penyesuaian yang adil kepada semua penyedia perkhidmatan kesihatan swasta.
"Sebagai wakil kepada jutaan penjawat awam yang turut menjadi pengguna perkhidmatan kesihatan swasta, kami melihat dasar ini sebagai langkah ke hadapan dalam meningkatkan sistem kesihatan negara yang lebih telus, mesra rakyat dan bertanggungjawab,” katanya.