Daftar segera tanah wakaf dengan MAIPk, elak risiko dijual

Iklan
Saarani (depan, tengah) menyampaikan set kepada penerima selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kitab Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau Ta’addud Jumaat Negeri Perak di ILKKM Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan, di Ipoh pada Isnin.

IPOH – Semua masjid, surau dan sekolah agama rakyat di Perak digesa segera mendaftarkan tanah wakaf masing-masing di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi mengelakkan isu pertikaian hak milik yang boleh mengancam kewujudan institusi ibadah tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masih terdapat banyak masjid lama yang dibina hasil wakaf orang perseorangan namun tanahnya tidak pernah didaftarkan secara rasmi di bawah MAIPk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan institusi tersebut berdepan risiko dituntut waris dan dijual kepada pihak ketiga, seperti yang berlaku di beberapa tempat di negeri ini.

"Dulu orang tua-tua kita lafaz sahaja wakaf, buat masjid, tetapi tidak daftarkan dengan MAIPk. Bila pewakaf meninggal dunia, tanah itu disenaraikan sebagai harta pusaka dan difaraidkan. Bila sampai kepada waris, ada yang menjual dan pembelinya pula bukan Islam. Ia seperti yang berlaku di sebuah masjid di daerah Kerian.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kitab Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau Ta’addud Jumaat Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Iklan

Sementara itu, dalam ucapannya, Saarani memaklumkan bahawa tindakan telah diambil terhadap isu sebahagian tanah sebuah masjid di daerah Kerian yang telah dijual kepada individu bukan Islam oleh waris pewakaf.

Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan MAIPk supaya mengambil tindakan segera berhubung isu berkenaan, termasuk menebus kembali tanah masjid terbabit yang dikatakan berjumlah RM1.8 juta.

"Saya difahamkan kutipan bagi sumbangan setiap hari Jumaat oleh masjid-masjid di Perak jumlahnya antara RM5 juta hingga RM7 juta sebulan. Maknanya, seminggu sekitar RM1 juta.

"Jadi saya seru supaya tunjukkan solidariti umat Islam Perak. Sebahagian kutipan itu bolehlah digunakan untuk menebus tanah tersebut. Surat pekeliling juga akan dikeluarkan kepada semua pengerusi masjid berkaitan perkara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, isu sama turut berlaku melibatkan tanah-tanah wakaf bagi surau dan pembinaan sekolah agama rakyat termasuk Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), yang akhirnya memerlukan kerajaan negeri mencari peruntukan bagi membiayai kos tuntutan atau pemilikan semula.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata kerajaan negeri akan meneliti semula insentif yang pernah diberikan kepada johan qari dan qariah serta peserta hafazan negeri ini yang mewakili Perak ke peringkat antarabangsa sebelum menentukan ganjaran yang sesuai.