Rampasan dadah cecah RM25.4 juta di Pahang

Iklan
Yahaya (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota yang cemerlang pada Perhimpunan Bulanan bagi Mei 2025 IPK Pahang di pekarangan IPK Pahang di sini pada Isnin.

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Nilai rampasan dadah di Pahang bagi tempoh Januari hingga April tahun ini direkodkan sebanyak RM25.4 juta, berbanding RM8.27 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM17.15 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daerah Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 333 kes bersamaan 36.5 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.

"Statistik kertas siasatan (yang dibuka tanpa ambil kira kes yang dilapor kepada) Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ialah sebanyak 664 kes dengan 276 pertuduhan atau 41.6 peratus.

Iklan

"Bagi kes melibatkan NSRC sebanyak 153 kes direkodkan dengan 39 pertuduhan, bersamaan 25.5 peratus," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bagi Mei 2025 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di pekarangan IPK Pahang di sini pada Isnin.

Menyentuh mengenai statistik kemalangan jalan raya, Yahaya berkata, sebanyak 8,183 kes kemalangan biasa telah direkodkan sepanjang tempoh sama dengan 146 kes daripadanya melibatkan kemalangan maut.

Iklan

"Jumlah saman yang dikeluarkan tahun ini mencecah 99,840 berbanding 63,194 saman pada tahun 2024.

"Sementara itu, kutipan kompaun bagi tahun ini adalah sebanyak RM1,359,641 berbanding RM1,391,180 pada tahun lalu," ujarnya.

Yahaya menambah, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang, pihaknya akan terus memberi fokus untuk meminimumkan perlakuan jenayah, penyalahgunaan dadah serta mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Beliau turut menegaskan, semua warga kerja polis Pahang perlu lebih progresif dan proaktif dalam memastikan sasaran kerja tahunan yang dirancang dapat dicapai mengikut ketetapan.

"Bukan sahaja kuantiti kerja perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, malah yang lebih utama adalah mutu dan kualiti kerja harus sentiasa dipertingkatkan," katanya.