Tingkat kemahiran diri bantu pekerja raih gaji lebih tinggi

Iklan
Golongan pekerja disaran bersikap proaktif bagi meningkatkan kemahiran tanpa hanya bergantung kepada gaji asas semata-mata demi meraih pendapatan lebih tinggi.

SHAH ALAM - Golongan pekerja disaran bersikap proaktif bagi meningkatkan kemahiran tanpa hanya bergantung kepada gaji asas semata-mata demi meraih pendapatan lebih tinggi.

Pengarah Urusan Tun Emas, Ku Mohd Fikri Hanif Ku Puteh berkata, pekerja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemampuan dan pengetahuan demi kelangsungan hidup agar kekal relevan dalam pasaran kerja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pekerja yang menguasai kemahiran digital dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan pengurusan projek mampu mendapat gaji 20 hingga 30 peratus lebih tinggi.

"Jangan malu juga untuk bincang dengan majikan bila rasa sumbangan kita dah meningkat. Majikan yang bagus akan hargai pekerja yang beri impak,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut Ku Mohd Fikri, syarikatnya menggunakan pendekatan produktiviti seperti kerja hibrid untuk mengurangkan kos operasi dan memastikan pekerja menerima gaji berpatutan tanpa membebankan syarikat.

Katanya, lebihan yang dijimatkan itu boleh diagih semula kepada pekerja dalam bentuk elaun atau bonus.

Iklan

Beliau berkata, pekerja di syarikatnya dibantu menjana pendapatan tambahan melalui projek sampingan, diberi latihan percuma dan mendapat manfaat seperti makan tengah hari bersubsidi.

"Kami juga beri perhatian kepada pekerja yang memerlukan sokongan khas seperti ibu tunggal atau yang menanggung ibu bapa agar mereka tidak terperangkap dalam tekanan kewangan,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, syarikat itu menawarkan kemudahan lain seperti panel kesihatan yang dirasakan sama nilainya dengan kenaikan kadar gaji dalam meringankan beban hidup pekerja.

"Secara tidak langsung, nilai gaji mereka meningkat secara praktikal apabila beban sara hidup berkurang,” jelasnya.

Sementara itu, Pengasas Telekung Kalista Clara, Shahlina Mustafa berpandangan, pekerja perlu mempunyai kemahiran melakukan pelbagai tugas dalam satu masa untuk meningkatkan peluang kenaikan gaji.

Katanya, berpengalaman dan kebolehan menyelesaikan masalah merupakan antara ciri yang disukai majikan sama ada di syarikat sedia ada ataupun baharu.

"Jadi, majikan pastinya tidak teragak-agak untuk menaikkan gaji seseorang pekerja kerana tahu pekerja ini mampu bantu menaikkan jualan syarikat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikatnya ada mengambil langkah untuk meningkatkan pendapatan pekerja melalui sistem komisen dan elaun tambahan untuk menampung kos sara hidup semasa.

"Contohnya, host live akan terima komisen atas jualan telekung, manakala pekerja operasi akan diberi elaun berdasarkan jumlah bungkusan yang disiapkan,” katanya.

Pengarah Rhusma Property, Abdul Rahman Hussin pula berkata, pekerja di syarikatnya digalakkan menambah kemahiran seperti fotografi bagi meningkatkan produktiviti dan membantu menambah pendapatan.

Katanya, kebanyakan pekerja termasuk kerani mempunyai kemahiran tambahan seperti suntingan melalui aplikasi Canva, sekali gus membolehkan mereka menyunting bahan promosi apabila diminta tanpa perlu mendapatkan khidmat grafik luar.

Dengan kos sara hidup yang meningkat, Abdul Rahman berkata, pekerja di syarikat yang menawarkan khidmat jurupandu Escapezone Kedah untuk aktiviti pendakian di Gunung Keriang itu juga dibenarkan mengambil dan menghantar pendaki dari luar negeri sebagai pendapatan sampingan.

"Saya percaya pekerja yang dibimbing dengan kemahiran tambahan ini bukan sahaja mampu menambah nilai diri mereka, malah menjadikan operasi syarikat lebih efisien,” katanya.