'Pelarasan dasar gaji perlu ada garis masa jelas'

Iklan
Thian Lai

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyediakan pelan tindakan dan garis masa yang jelas sekiranya ingin melaksanakan sebarang pelarasan dasar gaji pekerja di negara ini pada masa akan datang.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan tekanan kewangan ke atas perniagaan yang terpaksa ditanggung pengilang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, garis masa yang mencukupi penting kepada industri untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kos dan merancang kewangan syarikat dengan sebaiknya.

"Selain itu, FMM turut menyeru agar satu semakan peraturan secara menyeluruh dilaksanakan dengan tujuan untuk merasionalisasi proses, mengurangkan kos pentadbiran dan memperbaiki kemudahan menjalankan perniagaan.

Iklan

"FMM juga percaya bahawa mencapai pertumbuhan gaji yang mampan perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengekalkan daya saing dan kemampanan kewangan pengilang, terutamanya dalam persekitaran kos operasi yang semakin meningkat pada masa ini,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, kenaikan gaji minimum yang dilaksanakan baru-baru ini telah menyumbang kepada peningkatan kos operasi syarikat yang bernaung di bawah persekutuan berkenaan terutamanya dalam sektor yang bergantung kepada tenaga kerja.

Iklan

"Ramai pengilang terpaksa menanggung kos tambahan ini dalam keadaan persekitaran perniagaan yang sedia mencabar.

"Sebagai tindak balas, syarikat-syarikat telah melaksanakan pelbagai strategi untuk mengurangkan beban kos, termasuk pelaburan dalam automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti, penyusunan semula proses kerja, peningkatan kemahiran pekerja untuk menambah kecekapan dan mengoptimumkan pengurusan rantaian bekalan,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kenaikan gaji minimum mempengaruhi persepsi pelabur asing terhadap Malaysia sebagai hab pembuatan yang kompetitif, Thian Lai berkata, ia tidak memberi sebarang perubahan ketara.

Katanya, Malaysia masih dianggap hab pembuatan pilihan di rantau ini, meskipun kenaikan gaji minimum telah menambah kos operasi syarikat.