RANTAU PANJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk membina laluan baharu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini apabila jambatan kedua merentasi Sungai Golok siap sepenuhnya nanti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN hanya bertanggungjawab untuk membangunkan ICQS baharu.
"Malaysia perlu membuat persiapan untuk tiga komponen utama dan ia bukan keputusan mudah kerana melibatkan dasar di peringkat tiga kementerian utama iaitu KDN, KKR dan Kementerian Pengangkutan.
"Komponen kedua adalah di bawah KKR kerana berkaitan dengan laluan selepas jambatan berkenaan. Terpulang kepada KKR sama ada mahu buat laluan baharu atau menaik taraf jalan sedia ada dan sebagainya,” katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di sini pada Ahad.
Hadir sama,Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.
Menurut beliau, komponen ketiga pula akan melibatkan Kementerian Pengangkutan berikutan terdapat cadagan daripada Kerajaan Thailand agar perkhidmatan kereta api mereka bermula dari Bangkok dapat berakhir di Rantau Panjang.
Ujarnya, cadangan yang disuarakan dalam pertemuan akhir antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Suriya Juangroongruangkit itu turut selari dengan permintaan Kerajaan Kelantan agar perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan sehingga ke Rantau Panjang.
Saifuddin Nasution memberitahu, Kerajaan Kelantan juga meminta agar laluan ECRL tidak berakhir di Tunjong, Kota Bharu sahaja, tetapi diteruskan sehingga Rantau Panjang.
"Jadi, akan ada sambungan. KDN berdepan beberapa kekangan dalam usaha mewujudkan Kompleks ICQS baharu terutama menyelesaikan proses pengambilan tanah yang kini menjadi keutamaan.
"Jadi apakah projek ini akan diteruskan? Jawapannya, ya. KKR sedang memuktamadkan kontraktor dan di sebelah Thailand juga sama. Tempoh untuk dimulakan (projek jambatan kedua) dan sebagainya akan diselaraskan oleh agensi-agensi berkenaan,” katanya.