Sungai Golok ditutup, penyeludup dadah beralih ke Kuala Kedah

Iklan
Saifuddin Nasution (kanan) semasa sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di Rantau Panjang pada Ahad. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan trend penyeludupan dadah ke negara ini beralih ke kawasan kuala di Kedah selepas Polis Kelantan menutup kesemua 212 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini sejak Disember tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendaratan dadah kini dikesan meningkat di kawasan kuala-kuala di Kedah iaitu Kuala Kedah, Kuala Sanglang dan Kuala Jerlun.

Iklan
Iklan

"Saya baru diberitahu minggu lepas mengenai peningkatan aktiviti pendaratan dadah di kawasan tersebut selepas kita mengetatkan kawalan dengan menutup semua pangkalan haram di Sungai Golok.

"Walaupun trend penyeludupan dadah di Kelantan menunjukkan penurunan, ia belum dianggap signifikan dan memerlukan pemantauan berterusan," katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Menurut beliau, sebelum ini, kawasan sempadan Sungai Golok sepanjang lebih 103 kilometer menjadi antara laluan panas penyeludupan pelbagai barangan termasuk dadah dan pendatang asing tanpa izin.

Iklan

Ujarnya, susulan penutupan pangkalan haram, Polis Kelantan melaksanakan kawalan ketat dengan penugasan seramai 819 anggota dari pelbagai unit, selain menguatkuasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen ke atas mana-mana individu yang memasuki negara tanpa laluan sah.

Saifuddin Nasution memberitahu, langkah tersebut terbukti berkesan apabila daripada 4,000 hingga 5,000 pergerakan harian yang menggunakan laluan haram sebelum ini, kini hanya tinggal puluhan sahaja.


KDN akan tambah APKS

RANTAU PANJANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah bilangan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) secara berperingkat tahun ini bagi memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk utama negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini AKPS sudah beroperasi di 22 daripada 140 pintu masuk negara, di mana pelaksanaan awal itu menjadi medan penilaian keberkesanan pasukan tersebut dalam menggerakkan operasi pelbagai agensi secara menyeluruh.

"Tempoh ini kita guna untuk melihat keupayaan mereka, termasuk dari segi pengoperasian, kekangan serta aspek mana yang perlu ditambah baik.

"Setiap pintu masuk pula berbeza coraknya. Contohnya, di Rantau Panjang kita ada pintu darat, manakala di Johor ke Singapura terdapat 5,000 pengembara harian. Di KLIA1 dan KLIA2 pula berbeza lagi coraknya. Semua ini kita ambil kira untuk menambah baik operasi secara menyeluruh,” katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Menurut beliau, AKPS yang ditubuhkan pada Januari lalu merupakan gabungan beberapa agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain, bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.

Ujarnya, meskipun masih baharu, AKPS telah berjaya mencatat nilai rampasan sekitar RM400,000 setakat ini, namun tumpuan utama pasukan itu kini adalah terhadap penambahbaikan pengoperasian.

Tambah beliau, penambahan AKPS akan dibuat berdasarkan keperluan penjawatan sedia ada dan perkembangan itu penting dalam memastikan kawalan sempadan negara terus berada dalam keadaan optimum dan responsif.

"Kita sedang melihat proses pengambilalihan aset supaya ia lebih teratur. Ada aset yang boleh terus diambil, dan ada pula yang terikat dengan kontrak. Jadi perkara ini juga sedang kita perkemas.

"Saya berpuas hati dengan prestasi semasa, tetapi masih ada elemen-elemen yang perlu ditambah baik,” katanya.