Penjara Machang paling sesak di Malaysia, 80 peratus banduan kes dadah

Iklan
Saifuddin Nasution (tengah) semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di Rantau Panjang pada Ahad. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

RANTAU PANJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan bahawa Penjara Machang, Kelantan kini mencatat kadar kesesakan tertinggi di negara ini apabila menempatkan lebih dua kali ganda jumlah banduan daripada kapasiti asal dengan 80 peratus daripadanya terlibat dalam kes berkaitan dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjara tersebut hanya mampu menampung 1,560 banduan, namun kini dihuni seramai 3,184 orang.

Iklan
Iklan

"Semua banduan di Penjara Machang adalah kes sabitan dan 80 peratus daripadanya melibatkan kesalahan berkaitan dadah.

"Negara mempunyai 43 buah penjara dan Penjara Machang adalah yang paling sesak. Penjara Pengkalan Chepa juga berdepan situasi sama apabila menempatkan 2,977 banduan berbanding kapasiti asal hanya 1,500 orang.

"Daripada jumlah itu, 65 peratus merupakan banduan kes berkaitan dadah sama ada reman atau sabitan,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Menurut beliau, situasi itu mencerminkan betapa seriusnya masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kelantan yang bukan lagi sekadar isu sosial, malah sudah menjadi ancaman keselamatan negara.

Iklan

Beliau turut mendedahkan bahawa statistik bagi tahun 2022, 2023 dan suku pertama 2024 menunjukkan peningkatan konsisten dalam jumlah tangkapan, reman dan sabitan berkaitan kes dadah di negeri itu.

"Tren peningkatan ini amat jelas. Malah, Kelantan mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini, iaitu melebihi 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding purata nasional sebanyak 566 kes,” ujarnya.

Tambah beliau, statistik tersebut diperoleh daripada empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Narkotik Bukit Aman, Pusat Pemulihan Dadah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Empat negeri sempadan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis berada dalam senarai tertinggi penyalahgunaan dadah. Daripada lima daerah utama di negara ini, empat terletak di Kelantan iaitu Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh, selain Pendang di Kedah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Kelantan meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung bekalan dadah, selain meminta AADK memperkemas strategi pencegahan melibatkan komuniti dan institusi pendidikan.