JOHOR BAHRU - Keputusan untuk terus tinggal di luar bandar sejak 10 tahun lalu diakui lebih selesa berbanding di bandar kerana kos sara hidup yang lebih rendah.
Pekerja kantin, Nurul Shafikah Mohd Hatar, 29, yang menetap di Estet Pasir Panjang berkata, kehidupannya kini cukup selesa dengan kemudahan asas yang lengkap.
"Alhamdulillah, sepanjang duduk di sini, semua keperluan mencukupi. Rumah, bekalan air dan elektrik kami dapat secara percuma kerana ditanggung oleh majikan saya.
"Perbelanjaan bulanan keluarga pula sekitar RM600 hingga RM700 untuk membeli barangan kering dan basah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Nurul Shafikah, kehidupan di bandar sememangnya mencabar kerana kos sara hidup yang tinggi, selain perlu membayar sewa rumah dan bil utiliti.
Menurutnya, walaupun menikmati kehidupan yang lebih murah di kawasan ladang, dia tetap memerlukan pendapatan tambahan memandangkan mempunyai dua anak berusia lapan dan lima tahun yang sedang bersekolah.
"Saya suka berniaga. Dahulu saya menjual kuih dan makanan di hadapan rumah. Nasi lemak RM1 pun boleh dapat sekitar RM40 sehari.
"Tetapi selepas mengalami masalah saraf tangan, saya terpaksa berhenti berniaga dan kini hanya bekerja di kantin sekolah agama dengan pendapatan sekitar RM30 sehari.
"Sebelum berkahwin, saya pernah bekerja seketika di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), tetapi berhenti kerana memilih untuk tinggal di luar bandar selepas berkahwin,” katanya.
Sementara itu, penyelaras operasi di sebuah syarikat pelancongan di Kundasang, Julie Aley, 35, berkata, gaji minimum RM1,700 hanya mencukupi untuk individu bujang yang tidak mempunyai komitmen.
"Jika anda mempunyai komitmen selain diri sendiri, sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi dan tidak membawa sebarang perbezaan,” katanya.
Beliau berpendapat gaji minimum sebanyak RM2,000 adalah lebih munasabah memandangkan harga barangan dan perkhidmatan yang terus meningkat.
Julie turut menggesa kerajaan agar meneliti dengan serius harga barangan keperluan harian kerana tiada guna menaikkan gaji minimum jika harga barang asas juga meningkat dengan ketara.
Dalam pada itu, Benya Lanting, 23, yang bekerja sebagai penolong penyelia dapur di Sibu, Sarawak percaya gaji minimum yang lebih realistik adalah sekitar RM2,000 hingga RM2,500 bergantung kepada lokasi.
"Gaji minimum baharu ini memang memberi sedikit kelegaan kepada saya, terutamanya dalam membantu menampung kos keperluan asas seperti makanan, sewa rumah dan utiliti.
"Tetapi bagi saya, ia masih belum mencukupi kerana kos sara hidup semakin meningkat. Sebagai contoh, sewa rumah dan perbelanjaan harian. Tambahan pula, komitmen saya akan bertambah sekiranya saya membeli kereta pada masa hadapan.
"Oleh itu, saya memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk hidup dengan lebih selesa,” katanya.