PERAK – Biarpun tinggal di luar bandar, kos sara hidup tetap menjadi cabaran utama buat golongan muda berpendapatan rendah dan sederhana apabila perlu melakukan lebih daripada satu sumber pendapatan.
Bagi Taufiq Ahmad, 23, yang bekerja kampung dan tinggal bersama keluarga di Bagan Datuk, pendapatan yang diperoleh masih mampu menampung keperluan asas diri dan keluarga seperti makanan, pakaian serta pengangkutan.
Katanya, perbelanjaan bulanan tertinggi tetap sekitar RM400 hingga RM500 sebulan, bergantung kepada keperluan semasa.
Namun, berbanding sebelum ini ketika dia bekerja di Nilai, Negeri Sembilan, kos sara hidup lebih tinggi dengan RM600 sebulan hanya untuk makan dan minum.
"Kos hidup di luar bandar tidak sama seperti di bandar. Harga barangan keperluan di bandar jauh lebih mahal.
"Itu sebabnya saya rasa duduk kampung masih boleh bertahan, tapi tetap kena berjimat," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Taufiq, walaupun tinggal di kawasan luar bandar, dia berpendapat pekerja sepatutnya menerima gaji setaraf dengan mereka yang bekerja di bandar.
"Ini untuk pastikan keadilan kepada semua pekerja tanpa mengira lokasi. Kerja tetap kerja, penatnya tetap sama," ujarnya yang masih bujang.
Sementara itu, katanya, untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat, dia tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.
Jelasnya, di kampung juga ada peluang untuk melakukan beberapa kerja sampingan bagi menambah pendapatan biarpun tiada sebarang tanggungan.
Menurutnya, pendapatan tambahan itu digunakan untuk menyimpan wang sebagai persediaan hidup masa hadapan termasuk merealisasikan impian menamatkan zaman bujang.