SEREMBAN - Seorang bapa tidak menyangka insiden melanggar lampu isyarat merah yang meragut tiga nyawa di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height di sini, Mac lalu kini menimpa anaknya pula.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam pada Sabtu, Muhammad Annas Iskandar Mohd Khairi, 21, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang dirempuh van dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Menurut Rosli Mohd Yusof, 52, kebimbangannya selama ini berhubung insiden di lokasi sama sememangnya berasas.
"Ketika kejadian meragut tiga nyawa di lokasi sama dulu, saya memang risaulah jika ia berlaku kepada orang lain pula.
"Lokasi itu jalan lurus, orang memang nak kejar lampu isyarat. Kalau nampak tanda perlu berhenti, berhentilah... bukannya tekan lagi. Kalau lambat tak rugi pun," katanya ditemui Sinar Harian di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini pada Ahad.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, menyerahkan proses siasatan sepenuhnya kepada pihak polis dan berharap tindakan undang-undang setimpal dapat dikenakan kepada pelaku.
Tambahnya, keluarga akan mempertimbangkan tindakan undang-undang lain sekiranya perlu.
"Kita akan tengok tindakan polis kepada pemandu van itu. Kalau kita tak puas hati, kita akan lawan kerana kes macam ini tak boleh dibiarkan," katanya.
Rosli berkata, dia mengetahui kejadian menimpa Allahyarham daripada salah seorang anaknya di Klang, Selangor namun pada awalnya belum mengetahui yang arwah telah pun meninggal dunia.
"Anak saya hanya kata abang kemalangan dan kepalanya teruk, tapi dia tak beritahu sudah meninggal.
"Saya dan isteri dari rumah kemudiannya ke lokasi bagi melihat kejadian berlaku, tapi apabila sampai, saya tengok dia dah meninggal dunia," katanya.
Ujarnya, ketika kejadian Allahyarham dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membantu bapa saudara berniaga di Taman Panchor Jaya.
Tambahnya, menjadi rutin Allahyarham yang sedang menyambung pengajian di Kolej Poly- Tech MARA (KPTM) di Bangi, Selangor untuk bekerja sambilan setiap hujung minggu.
"Dia anak nombor dua daripada empat beradik dan seorang anak yang baik serta tak pernah buat masalah.
"Sehari sebelum kejadian, kami ada pergi makan bersama dan waktu itu arwah tidak menunjukkan sikap pelik. Tapi saya boleh cakap, dia memang anak yang baik," katanya.
Sementara itu, rakan sebilik Allahyarham, Harith Shah Iskandar Mohd Zain, 21 berkata, dia sepatutnya berjumpa dengan Allahyarham pada malam Sabtu, tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia ada urusan lain.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila diberitahu rakannya lain yang Allahyarham terlibat kemalangan maut.
"Kami kenal dari Tingkatan Satu dan menyambung pengajian di KPTM sama serta duduk sebilik.
"Memang dah jadi kebiasaan arwah setiap hujung minggu dia akan pulang ke rumah untuk kerja sambilan.
"Sepatutnya malam tadi kami nak jumpa lepak, tapi saya batalkan kerana ada hal lain, tapi tiba-tiba dapat berita dari kawan lain, arwah meninggal kemalangan," katanya.
Dia yang tinggal di Seremban menyifatkan arwah seorang kawan yang periang dan tidak lokek untuk membantu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang perempuan berusia 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
"Akibatnya, seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah meninggal dunia di lokasi," katanya.
Tambahnya, pemandu van tidak cedera dan telah direman empat hari untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, ujian kandungan alkohol terhadap pemandu itu juga didapati negatif.
"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Terdahulu, tular video papan pemuka sebuah kenderaan di media sosial memaparkan van terbabit melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh motosikal mangsa.
Turut tular, video seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung melihat anaknya tidak bernyawa selepas maut dirempuh sebuah van berkenaan.
Menerusi video yang tular, wanita terbabit yang tiba di lokasi dalam keadaan penuh emosi menjerit 'Ya ALLAH' sambil dipeluk suami yang cuba menenangkannya.