SHAH ALAM - Abang ipar kepada pelakon Riezman Khuzaimi, Rennie Abdul Ghani, 57, meninggal dunia selepas terjatuh semasa mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu.
Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 55, yang lebih dikenali sebagai Riezman memaklumkan, keluarga mereka sedang menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Indonesia sebelum membawa pulang jenazah ke Malaysia.
"Al-Fatihah, kami sekeluarga sedang menunggu pihak berkuasa di sana untuk mengemas kini maklumat sebelum membawa pulang ke Malaysia.
"Terima kasih atas doa semua buat abang ipar saya," katanya menerusi ruang komen Facebook Hiking And Recreation Around Malaysia (H.A.R.A.M) pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang pendaki warga Malaysia dilaporkan terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat sekitar 12 tengah hari waktu tempatan.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh pelbagai agensi melibatkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.
Pihak taman negara menjelaskan, pendaki dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang juru pandu daripada agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani.
Rennie Abdul Ghani memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.