PERTIKAIAN antara Petronas dan kerajaan negeri Sarawak merupakan isu yang telah berlangsung sekian lama, ditambah dengan beberapa peristiwa penting yang menyumbang kepada ketegangan ini.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada Jumaat mengesahkan bahawa anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), menerima notis pada 30 April 2025 daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas yang didakwa dilakukan secara haram.
Syarikat minyak negara itu bagaimanapun memberitahu bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.
Bagaimanapun, ia bukan sekadar soal hak pemilikan sumber semula jadi semata-mata tetapi juga mengenai hala tuju politik, sosial dan ekonomi Malaysia pada masa depan.
Ini kerana ketegangan berterusan antara kedua-dua pihak mungkin akan membawa kesan yang lebih buruk, bukan sahaja kepada ekonomi negeri Sarawak, tetapi juga kepada kestabilan politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, sentimen rakyat Sarawak terhadap kerajaan Persekutuan boleh terjejas jika tidak ditangani secara bijaksana, terutamanya apabila wujud persepsi bahawa hak-hak negeri tidak dihormati.
"Tindakan Petronas yang dikatakan melanggar undang-undang negeri seperti Ordinan Pengagihan Gas 2016 menambah ketidakpuasan, terutamanya apabila jurang komunikasi ketara antara Putrajaya dan Kuching,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Awang Azman berkata, sentimen rakyat boleh berkembang menjadi tekanan untuk menuntut lebih banyak desentralisasi yang wajar ditangani dengan penuh kebijaksanaan oleh kepimpinan nasional.
Sama ada Sarawak akan berjaya memperoleh lebih banyak kuasa dalam pengurusan sumber minyak dan gas atau tidak, ia pasti akan menjadi satu titik perubahan dalam hubungan Persekutuan dan negeri yang akan memberi kesan besar kepada masa depan negara.
Sebagai contoh, pengumuman penarikan diri gergasi tenaga Amerika Syarikat daripada projek minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali di luar pesisir Sarawak, yang dianggarkan bernilai RM13.7 bilion (AS$3.13 bilion), berlaku ketika pertikaian semakin meruncing antara kerajaan negeri dan Petronas.
Memetik laporan Channel News Asia, beberapa eksekutif industri berkata, keputusan penarikan diri tersebut didorong oleh ketidaktentuan peraturan yang berpunca daripada pertikaian berterusan antara Petronas dan kerajaan negeri.
Justeru, salah satu cara untuk menyelesaikan isu ini adalah melalui rundingan antara kerajaan negeri Sarawak, Petronas dan kerajaan Persekutuan untuk mencapai kompromi yang adil.
Penyelesaian ini perlu mengutamakan keadilan untuk negeri Sarawak, sambil memastikan bahawa operasi Petronas sebagai syarikat negara tetap terjamin.