99.5 peratus majikan patuh gaji minimum

Iklan
Pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 telah menunjukkan tahap pematuhan hampir sepenuhnya oleh para majikan sejak ia mula berkuat kuasa pada 1 Februari lalu. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 telah menunjukkan tahap pematuhan hampir sepenuhnya oleh para majikan sejak ia mula berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, berdasarkan laporan Jabatan Tenaga Kerja, kadar pematuhan majikan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 telah mencapai 99.5 peratus setakat Mac 2025.

Iklan
Iklan

"Dianggarkan seramai 4.37 juta pekerja di Malaysia telah mendapat manfaat daripada kenaikan RM200 daripada gaji minimum terdahulu iaitu RM1,500.

"Usaha kerajaan untuk meningkatkan gaji telah menunjukkan beberapa perkembangan positif. Gaji bulanan median terkini telah melepasi paras RM3,000 buat pertama kali,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, mengambil kira kebimbangan rakyat mengenai kecukupan gaji minimum, terutamanya dengan peningkatan kos sara hidup, Kesuma berkata, penting untuk mempertimbangkan landskap ekonomi yang lebih luas termasuk kesan terhadap perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta daya saing negara secara keseluruhan.

"Oleh itu, di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, gaji minimum disemak sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun, dengan mengambil kira kedua-dua kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara,” katanya.

Iklan

Kesuma menegaskan, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 kekal tidak boleh dirunding dan kegagalan mematuhi PGM adalah satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan boleh dikenakan denda.

Pada masa sama, Kesuma berkata, pihaknya menyokong Dasar Gaji Progresif (PWP) dan inisiatif peningkatan latihan kemahiran yang akan meningkatkan pendapatan dan peluang kerjaya pekerja secara menyeluruh melebihi sekadar gaji minimum.

"Penting untuk difahami bahawa gaji minimum tidak seharusnya dijadikan penanda aras untuk gaji permulaan, khususnya bagi graduan. Sebaliknya, ia harus mencerminkan kemahiran dan pengalaman setiap individu,"katanya.

Pada masa ini, PGM hanya terpakai kepada majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja serta mereka yang terlibat dalam aktiviti profesional seperti yang diklasifikasikan di bawah Pengelasan Pekerjaan Piawai Malaysia (MASCO), tanpa mengira bilangan pekerja.

Bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, PGM 2024 akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Jelas Kesuma lagi, pendekatan berperingkat ini mencapai keseimbangan antara memastikan pekerja menerima gaji adil dan membantu perniagaan mikro menyesuaikan diri secara bertanggungjawab.