Industri kosmetik bebas jadi lubuk selindung jenayah

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai peniaga kosmetik ditahan manakala aset hampir RM1 juta disyaki hasil pengedaran dadah disita.

INDUSTRI kosmetik bebas sering menjadi pilihan bukan sahaja kepada usahawan muda dan wanita, tetapi juga secara diam-diam sebagai laluan selamat bagi aktiviti jenayah termasuk penyeludupan dan pengedaran dadah.

Sifat industri ini yang terbuka, longgar dari segi pemantauan dan sangat bergantung kepada jualan dalam talian serta rangkaian 'dropship' menjadikannya sasaran kepada mereka yang ingin berselindung di sebalik kegiatan haram sebagai perniagaan sah.

Iklan
Iklan

Lebih membimbangkan, industri ini menyediakan ‘laluan bersih’ untuk mencuci wang hasil kegiatan haram dengan menggunakan transaksi palsu, komisen ejen atau jualan tidak berdokumen, selain aliran kewangan haram boleh diolah semula menjadi ‘hasil jualan produk’.

Ramai pengusaha kosmetik, sama ada asli atau rekaan, tampil sebagai 'influencer' dengan ribuan pengikut dan gaya hidup mewah yang jarang dipersoalkan.

Iklan

Di sinilah wujudnya ruang manipulasi; penjenayah hanya perlu mencipta watak pengasas produk, membina jenama kosmetik dan menggunakannya sebagai wayang perniagaan untuk menutup operasi sebenar.

Baru-baru ini, polis Terengganu menyita tiga kereta, wang tunai serta pelbagai barangan kemas bernilai RM981,500 yang disyaki hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.

Iklan

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, ia susulan penahanan seorang lelaki tempatan bersama rampasan dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM32,000 pada 28 April lepas.

Beliau berkata, suspek berusia 35 tahun yang juga peniaga kedai kosmetik ditahan dalam serbuan di sebuah premis tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi di sini, kira-kira 8.40 malam.

"Aset yang disita termasuk Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover, wang tunai berjumlah RM7,700 serta beberapa barangan kemas seperti gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki emas.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemukan satu plastik hijau mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram, dipercayai untuk edaran kepada kira-kira 6,000 penagih di daerah Kuala Terengganu,” katanya.

Selagi industri ini tidak diberi perhatian serius dari segi lesen, rekod kewangan dan pengesahan produk, selagi itu ruang untuk eksploitasi akan terus terbuka.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mengawal produk yang didaftarkan, tetapi bagi ribuan produk 'jenama sendiri' yang tidak pernah memohon kelulusan, tiada tindakan boleh diambil sehingga aduan dibuat atau kemudaratan berlaku.

Masalahnya bukan pada kosmetik, tetapi pada sistem yang terlalu longgar hingga membenarkan gincu dijadikan alat menyembunyikan jenayah berskala besar.