KKM jamin tiada pelaksanaan tergesa-gesa isu harga ubat - Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) bergambar bersama-sama tetamu yang hadir semasa Majlis Perasmian Kembara TOBaTS Zon Tengah 2025, di Dewan Melawati di sini pada Sabtu.

KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa sebarang pelaksanaan berkaitan peraturan harga ubat termasuk keperluan memaparkan harga di premis kesihatan swasta tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan sedang menyelesaikan isu itu melalui saluran yang betul dengan mengambil kira kebimbangan semua pihak, khususnya pengamal perubatan am swasta (GP) dan pemilik farmasi.

Iklan
Iklan

"Saya ingin tegaskan bahawa tiada sebarang pelaksanaan ‘drug price display’ akan dibuat selagi isu Jadual 7 belum dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kembara Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah 2025 di Dewan Melawati di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, semakan terhadap memorandum Jawatankuasa Khas Menteri (MGM) kini berada di peringkat akhir dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pengamal perubatan dan pihak berkaitan diberikan tempoh tiga bulan bagi melaksanakan program pendidikan dan pemahaman mengenai perubahan dasar tersebut.

"Keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan dibuat bagi memastikan semua pihak bersedia dan tidak terbeban.

Iklan

"Transformasi kesihatan primer mesti dilaksanakan secara adil dan telus, bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi demi kebaikan rakyat dan kelangsungan sistem kesihatan negara,” katanya.

Mengulas mengenai rancangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk mengadakan bantahan pada Selasa ini, beliau berkata, kementerian bersikap terbuka dan menghormati hak mereka untuk menyuarakan pandangan secara aman.

"Saya telah menerima memorandum daripada MMA dan memahami kebimbangan mereka, khususnya berkaitan pelaksanaan Jadual 7 dan keperluan memaparkan harga ubat,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan telah menerima notis daripada MMA berhubung rancangan mereka untuk mengadakan bantahan pada Selasa ini berhubung peraturan yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.