SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang terselamat dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, Pahang untuk meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong dalam bidang teknikal.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tawaran itu diberikan selepas Ahmad Balia Murqam Mohd Alwi, 15, menyatakan minatnya dalam bidang keusahawanan.
"Alhamdulillah, dia bersetuju.
"Selaku anak angkat MARA, kita akan memastikan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah mereka dipantau secara rapi supaya masa depan mereka tidak terjejas walau sedikit pun akibat tragedi ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Ahmad Balia Murqam dan kakaknya, Ruby Adalia Balqis, 19, dijadikan anak angkat MARA selepas lima ahli keluarganya terkorban dalam kejadian awal pagi Khamis.
Asyraf Wajdi turut memberi jaminan memastikan Ruby Adalia Balqis dapat merealisasikan impiannya menjadi seorang guru dengan melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
"Dalam kesedihan yang masih bersisa, rupanya masih ada sinar harapan yang menyala dalam hati anak-anak ini.
"Ruby yang kini sedang menuntut pelajaran dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang mempunyai cita-cita yang cukup mulia untuk mendidik anak bangsa.
"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengarahkan saya dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk bantu susun laluan terbaik agar impian adik Ruby ini menjadi kenyataan," katanya lagi.
Beliau turun memaklumkan keadaan kedua-dua beradik itu lebih stabil dan kuat berbanding hari awal tragedi.
'"Saya juga sempat meninjau kawasan insiden kebakaran yang meragut nyawa insan tersayang mereka, melihat sendiri lokasi tersebut benar-benar meruntun hati dan sukar digambarkan dengan kata-kata bagaimana perasaan kehilangan itu.
"Namun saya tegaskan bahawa mereka tidak keseorangan yang mana MARA dan seluruh rakyat Malaysia amat prihatin dan akan terus mendoakan kesejahteraan serta kejayaan mereka.
"Daripada ujian yang amat berat ini akan lahir kekuatan luar biasa. Semoga ALLAH SWT terus memelihara dan mempermudahkan segala urusan kedua pelajar ini," katanya lagi.