KUALA LUMPUR - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis yang melancarkan serangan terhadap Iran hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam catatan di Facebook beliau berkata ia mesti dihentikan segera dan rundingan perlu diadakan demi menjamin keamanan serta kestabilan sejagat.
"Tindakan ini amat membimbangkan dan berisiko mencetuskan ketegangan yang lebih besar di rantau tersebut.
"Tindakan agresif ini hanya akan menyumbang penderitaan kepada rakyat yang tidak berdosa dan membuka ruang kepada konflik yang lebih luas. Dunia ketika ini tidak memerlukan peperangan baharu,” katanya.
Menurut Mohamad, serangan yang dilancarkan Israel telah melanggar kedaulatan sebuah negara serta mengancam keselamatan dan kestabilan serantau.
"Apa jua alasan yang diberikan, kekerasan bukanlah jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau menambah, serangan itu jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva, resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan prinsip-prinsip piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Agensi berita antarabangsa melaporkan rejim Zionis melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, dengan letupan dilaporkan di Teheran serta beberapa bandar termasuk Isfahan, Qom, Karaj dan Kermanshah. - Bernama