ATHENS – Greece dan Cyprus dilaporkan enggan menghantar pesawat pemadam kebakaran bagi membantu Israel memadamkan kebakaran hutan besar yang sedang marak di kawasan perbukitan berhampiran Baitulmaqdis yang diduduki.
Menurut laporan media Israel, Maariv, kerajaan Israel telah meminta bantuan daripada beberapa negara termasuk Greece dan Cyprus, namun kedua-dua negara itu menolak permintaan tersebut dengan alasan mereka turut berdepan kebakaran besar di negara masing-masing.
Kebakaran yang merebak di kawasan berbukit Baitulmaqdis itu dilaporkan semakin tidak terkawal akibat tiupan angin kencang. Api telah merebak hingga ke lebuh raya utama, dan beberapa pesawat pemadam kebakaran Israel dilihat berlegar-legar di udara dalam usaha terdesak untuk mengawal keadaan.
Media Israel turut melaporkan bahawa beberapa pasukan bomba telah terperangkap di kawasan barat bandar tersebut susulan api marak dengan pantas akibat angin kuat.
Walaupun kerajaan Israel berharap bantuan luar dapat diperoleh, Greece dan Cyprus tidak memberi komitmen, sama ada kerana kekangan atau keengganan untuk membantu.
Sebaliknya, Croatia menjadi negara pertama yang memberi respons apabila bersetuju menghantar pesawat pemadam jenis Canadair CL-415 menjelang malam.
Pesawat yang digelar 'Super Scoopers' itu mampu menyedut air terus dari tasik atau laut untuk dilepaskan ke kawasan kebakaran. Croatia juga akan menghantar pesawat bersaiz lebih kecil seperti Air Tractor AT-802 yang sesuai digunakan di kawasan sukar dicapai.
Israel kini dilaporkan memiliki jumlah pesawat pemadam kebakaran yang sangat terhad. Hanya satu pesawat besar milik tentera, dikenali sebagai 'Shimson', dilengkapi keupayaan memadam kebakaran berskala besar.
Tindakan Israel yang gagal membuat persediaan rapi meskipun menerima amaran dan berdepan kebakaran hutan hampir setiap tahun, dikritik banyak pihak. Sebaliknya, perbelanjaan negara lebih tertumpu kepada ketenteraan dan pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin. - Agensi