JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) lebih 200 gram, bulan lalu.
Pertuduhan terhadap Lim Ken Yi, 23, dibacakan di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang juga seorang penganggur didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 1.30 petang di tepi Jalan Datuk Abdullah Tahir di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada masa yang sama, pemuda itu turut berdepan pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis ketamin seberat enam gram di lokasi dan masa sama.
Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.