Arahan pamer harga ubat beri impak besar kepada poket rakyat

Iklan
Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025.

TARIKH 1 Mei 2025 menjadi satu titik bersejarah dalam sektor penjagaan kesihatan swasta negara apabila kerajaan mewajibkan semua premis klinik dan farmasi komuniti memaparkan harga ubat yang dijual di premis mereka kepada pengguna.

Arahan ini dikuatkuasakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang menetapkan semua ubat perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.

Iklan
Iklan

Langkah berkenaan selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang ingin memperkukuh prinsip ketelusan harga dalam sektor perkhidmatan kesihatan menerusi pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Inisiatif berkenaan sudah pastinya disambut baik oleh pengguna dan kumpulan advokasi kesihatan yang sekian lama menuntut keterbukaan dalam penetapan harga ubat, terutama bagi pesakit kronik dan warga emas yang bergantung pada ubat sepanjang hayat.

Iklan

Langkah berkenaan perlu kerana selama ini terdapat perbezaan harga ubat antara farmasi dan klinik, bahkan antara kawasan bandar dan luar bandar, yang begitu ketara.

Malah, ubat sama jenis dan jenama boleh dijual dengan harga berbeza sehingga dua atau tiga kali ganda, bergantung kepada lokasi dan dasar harga premis tersebut.

Iklan

Lebih membimbangkan, pengguna tidak pernah tahu harga sebenar ubat kerana tiada tanda harga dipamerkan. Malah dalam banyak kes, kos ubat dimasukkan sekali dalam caj rawatan tanpa penjelasan terperinci.

Arahan terbaharu kerajaan ini bertujuan menghapuskan amalan tidak telus tersebut. Bermula dengan fasa pendidikan selama tiga bulan, klinik dan farmasi diberi masa untuk menyesuaikan operasi mereka sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Ini termasuk mempamerkan harga untuk semua jenis ubat termasuk ubat preskripsi, ubat kaunter (OTC), suplemen, sediaan tradisional, produk semula jadi dan sediaan bancuhan (compounded medication).

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan hak pengguna untuk membuat pilihan bijak, malah memberi isyarat bahawa industri kesihatan swasta tidak boleh terus beroperasi tanpa garis panduan harga yang jelas.

Dalam jangka panjang, ia dapat meningkatkan persaingan sihat antara farmasi dan klinik serta mendorong kepada penetapan harga ubat yang lebih munasabah dan mampu milik.

Namun, pelaksanaan inisiatif ini juga menimbulkan beberapa persoalan penting termasuk, pertama, sejauh mana pengguna akan benar-benar mengambil kesempatan untuk membuat perbandingan harga sebelum membeli ubat?

Kedua, adakah klinik dan farmasi akan mematuhi arahan ini sepenuhnya atau hanya melakukannya secara kosmetik bagi mengelak tindakan?

Meskipun kerajaan menegaskan bahawa perintah ini bukan mekanisme kawalan harga, tetapi sekadar penandaan harga, kesannya tetap besar.

Ketelusan harga adalah langkah permulaan penting sebelum mekanisme kawalan harga sebenar dapat dipertimbangkan secara menyeluruh.

Negara-negara seperti Thailand, India dan United Kingdom telah lama melaksanakan sistem kawalan atau siling harga untuk ubat-ubatan tertentu demi memastikan akses kesihatan yang adil.

Malaysia pula masih bergelut dalam mencari keseimbangan antara perlindungan pengguna dan kebebasan pasaran. Tanpa garis panduan yang jelas, pengguna terus terdedah kepada risiko pencatutan iaitu mengenakan harga tidak munasabah semata-mata untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Dalam hal ini, peranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) amat penting bukan hanya daripada aspek pemantauan rapi dan penguatkuasaan konsisten, malah pendekatan pendidikan kepada pengguna serta penggiat industri perlu dipergiatkan.

Klinik dan farmasi juga harus dibimbing secara profesional agar tidak melihat inisiatif ini sebagai beban, tetapi sebagai peluang menambah kepercayaan pelanggan.

Akhirnya, persoalan yang timbul ialah, adakah kita membeli ubat untuk menyembuhkan penyakit, atau sebenarnya membayar harga kepada sistem kesihatan swasta yang ‘sakit’?

Langkah kerajaan ini adalah permulaan ke arah reformasi sistem kesihatan yang lebih adil dan mesra rakyat, namun ia hanya akan berjaya jika semua pihak memainkan peranan, termasuk pengguna sendiri.