TEL AVIV - Ribut pasir luar biasa telah melanda kawasan selatan Israel pada Selasa sehingga menyebabkan langit bertukar merah jingga.
Menurut media NDTV, fenomena itu turut disertai angin kencang yang membadai kawasan padang pasir termasuk Gurun Negev dan bandar Beersheba.
Beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan awan debu tebal menyelubungi kawasan terbabit.
Salah satu kawasan yang terjejas ialah pangkalan tentera di Gurun Negev.
Dalam pada itu, terdapat juga video menunjukkan, askar Israel berdepan kesukaran menutup pagar pangkalan akibat tiupan angin kuat.
Sebelum ini, ahli kaji cuaca, Lior Sudri berkata, sudah memberi amaran mengenai cuaca buruk di wilayah selatan Israel.
"Pada siang hari, angin kencang akan melanda, jerebu tebal diramal berlaku dan ribut pasir akan terjadi di selatan Israel.
"Kemuncak gelombang haba ini dijangka berlaku tengah hari ini (pada Selasa) dengan bacaan suhu antara 36 sehingga 38 darjah Celcius,” kata beliau.
Susulan keadaan cuaca yang ekstrem, kerajaan Israel mengambil keputusan membatalkan sambutan rasmi Hari Kemerdekaan ke-77.