TEMERLOH - Jika berkesempatan singgah ke bandar Temerloh, jangan lepaskan peluang menjejakkan kaki ke lokasi tumpuan terbaharu dikenali sebagai Temerloh Art Street.
Terletak di belakang Jalan Semantan 1 dan 2 berhampiran Dataran Pelangi dan di tengah bandar Temerloh, ia kian menjadi tumpuan ramai khususnya pada hujung minggu dan hari kelepasan am.
Ia juga menjadi lokasi wajib pelancong dan pencinta seni jalanan yang tidak mahu melepaskan peluang berswafoto dan merakam kenangan di lorong sepanjang 80 meter.
Mula dibuka pada Januari 2023, apa yang membezakan Temerloh Art Street itu dengan lokasi lain ialah deretan mural bersaiz gergasi menghiasi dinding bangunan lama menggambarkan pelbagai elemen budaya, alam semula jadi serta warisan unik negeri Pahang dan Temerloh khususnya.
Antaranya ikan patin yang menjadi ikonik bandar Temerloh selain wajah Penghibur Nombor 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan ragam peniaga di sekitar Pekan Sehari Temerloh yang terkenal di seluruh negara.
Turut kelihatan lukisan mural Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Deerland, Pusat Konservasi Seladang dan hentian kereta api.
Ratusan payung berwarna-warni di sepanjang lorong memberi keunikan tersendiri selain menjadikan suasana bertambah ceria dan membolehkan pengunjung berteduh daripada terik mentari.
Kerlipan lampu yang dipasang menambahkan tarikan Temerloh Art Street pada waktu malam.
Paling mengujakan, setiap lukisan dihasilkan sendiri anak tempatan dan pelukis seni profesional yang diberi kebebasan mengekspresikan kreativiti mereka.
Hasilnya, kawasan itu kini bukan sekadar laluan pejalan kaki biasa, sebaliknya menjadi galeri seni terbuka yang hidup dan penuh warna-warni.
Pekerja swasta, Amirul Heidi Ridzuan, 35, mengakui pengalamannya ke Temerloh Art Street memberi satu perspektif baharu terhadap keindahan seni tempatan.
"Saya memang gemar tempat bergambar yang estetik dan ada nilai seni.
"Sebaik tiba di sini, saya seolah-olah masuk ke dunia lain. Cantik sangat muralnya dan paling saya suka, ada lukisan gajah, ikan patin dan suasana kampung yang selama ini menjadi simbol identiti Temerloh,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Danish Shahmie Suhaili,18, tertarik dengan keunikan di laluan tersebut menyebabkan bandar Temerloh sesak setiap kali hujung minggu atau cuti am kerana menjadi tumpuan pelancong.
Menurutnya, lokasi lorong itu yang terletak berhampiran Pekan Sehari Temerloh membolehkan orang ramai bersantai dan bergambar kenangan sebagai bukti hadir ke lokasi ikonik bandar itu.
"Cuma saya nampak kalau boleh jika pihak berkuasa dapat menyediakan kerusi untuk pengunjung warga emas atau orang kurang upaya (OKU) melepaskan lelah sebentar,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Lanskap Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Mohd Yusri Othman berkata, inisiatif mewujudkan Art Street ini adalah sebahagian usaha menaikkan semula sektor pelancongan domestik selain memberi nafas baharu kepada kawasan bandar lama.
Jelasnya, projek itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi tempatan termasuk pelukis bebas dan penggiat seni.
"Selain menjadi tumpuan pelancong, ia juga memberi peluang ekonomi kepada peniaga setempat.
"Pelbagai program juga diadakan di Dataran Pelangi antaranya program MPT dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dijadikan lokasi pengantin merakamkan kenangan pada hari bersejarah mereka,” tambahnya.
Jelasnya, pembangunan lorong seni itu bermula dengan fasa pertama iaitu pemasangan bata pejalan kaki (interlocking) dan kerja melukis mural membabitkan kos RM300,000 diikuti fasa kedua, pemasangan payung warna-warni berjumlah RM100,000.
Tambahnya, projek lorong seni itu akan disambung ke lokasi berpotensi lain berdasarkan kelulusan peruntukan.
"Secara keseluruhannya, Temerloh Art Street bukan hanya sekadar tarikan visual, tetapi juga platform memartabatkan seni tempatan, memulihkan ekonomi komuniti serta mengekalkan warisan budaya daerah yang kaya dengan sejarah,” jelasnya lagi.