TEL AVIV - Kebakaran hutan besar melanda Israel pada Rabu hingga mencetuskan situasi huru-hara yang memberi tekanan besar kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu ketika kempen pengeboman ke atas Genting Gaza terus diperhebatkan.
Kebakaran luar biasa yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah itu memaksa Tel Aviv menebalkan muka merayu bantuan negara antarabangsa.
Kementerian Luar telah menghubungi negara jiran termasuk Greece, Cyprus, Croatia, Itali dan Bulgaria untuk menagih bantuan.
Pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan mengesahkan tiga pesawat pemadam kebakaran dari Rom dan Zagreb bakal tiba untuk membantu pasukan penyelamat Israel.
Netanyahu turut mengisytiharkan darurat selepas memberi amaran bahawa api tersebut mungkin merebak ke Baitulmaqdis, ketika pasukan bomba dikerah mengawal kebakaran selama dua hari berturut-turut.
Rakaman video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal memenuhi lebuh raya hingga mencetuskan panik kepada pengguna yang bertindak meninggalkan kenderaan masing-masing.
Selain itu, ribuan penduduk yang mendiami kawasan di sepanjang koridor lebuh raya terletak kira-kira 30 kilometer dari barat Baitulmaqdis turut dipindahkan.
Menteri Keselamatan, Itamar Ben Gvir berkata, bencana itu mungkin berpunca daripada perbuatan khianat (arson), manakala cuaca kering berserta tiupan angin kencang menyebabkan api marak dengan cepat.
Sementara itu, agensi penyelamat, Magen David Adom (MDA) memaklumkan kira-kira 23 mangsa cedera, majoriti daripada mereka melecur dan mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.
Siasatan awal mendapati kebakaran itu bermula di kawasan hutan berhampiran jalan utama antara Latrun dan Bet Shemesh sebelum ia merebak dengan cepat ke bahagian lain serta berdepan kesukaran untuk dikawal. – Agensi