SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan Pelan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi melindungi pekerja sektor ekonomi gig.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi, dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pelan tersebut merangkumi penyediaan garis panduan keselamatan, program kesedaran, penguatkuasaan peraturan platform gig, latihan, serta pampasan pekerja.
Menurutnya, lebih 4,200 pekerja gig di Negeri Sembilan telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri sejak 2017.
"Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan taraf hidup pekerja gig dan memajukan sektor ini setanding dengan pekerjaan formal.
"Pada masa yang sama, kami berusaha memberikan perlindungan menyeluruh terhadap mereka dalam usaha menuju masa depan pekerjaan yang lebih inklusif dan mampan," katanya menerusi kenyataan sempena Hari Pekerja pada Khamis.
Tambahnya, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut memperkukuh usaha melindungi pekerja sektor gig.
"Perbincangan dan sesi libat urus telah dijalankan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bagi memastikan hak mereka dilindungi melalui kebajikan sosial, mekanisme aduan, pendapatan minimum, dan akses kepada peluang peningkatan kemahiran.
"Berdasarkan statistik MDEC, terdapat 2.2 juta pekerja gig di Malaysia pada tahun 2023, menekankan keperluan mendesak untuk kerangka perundangan yang komprehensif," katanya.
Jelasnya, di Malaysia, hak setiap pekerja dilindungi oleh Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang antara lain bertujuan meningkatkan dan menambah baik perlindungan serta kebajikan golongan pekerja.
"Melalui usaha berterusan, Kerajaan Madani dijangka dapat menjaga serta memelihara kebajikan warga kerja sebagai tonggak pembangunan ekonomi negara," katanya.