11 tahun pasang impian mahu jadi petugas Tabung Haji

Iklan
Muhammad Faris, Aizal Muhammad Nazim.

MADINAH – Memasang impian sejak 11 tahun lalu untuk menjadi petugas Tabung Haji (TH) demi menyantuni Duyufurrahman akhirnya menjadi kenyataan buat Muhammad Faris Abu Hasan, 36, yang bertugas sebagai jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor.

Dia berkata, hasrat tersebut mula disemai selepas mendengar kisah dan pengalaman daripada senior yang pernah bertugas di Tanah Suci.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perasaannya bercampur baur sebaik menerima tawaran berkhidmat sebagai petugas TH di Madinah.

"Pemilihan untuk menjadi petugas haji sangat sukar, namun dalam masa yang sama saya amat bersyukur kerana diberi peluang ini.

Iklan

"Insya-ALLAH, saya akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah bagi membantu mereka menjalani ibadat haji dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita di Roha Al Madinah, di sini.

Aizal Muhammad Nazim memanjatkan kesyukuran kerana terpilih menjadi petugas TH bagi musim haji 1446H/2025M.

Iklan

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia tidak akan melupakan pesanan senior di tempat kerjanya agar sentiasa menjaga kelakuan dan memberikan layanan terbaik kepada jemaah sepanjang berada di Madinah dan Makkah.

Katanya lagi, dia sebelum ini telah menyertai pelbagai kursus anjuran pihak TH sebagai persediaan menyantuni tetamu ALLAH.

"Saya akan cuba beri perkhidmatan terbaik kepada jemaah sepanjang berkhidmat sebagai jururawat di Pusat Kesihatan Madinah TH.

"Insya-ALLAH, saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Walaupun tahu tugas ini penuh tekanan, saya percaya pasti ada kemanisannya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi petugas, Aizal Muhammad Nazim Sajari, 34, yang bertugas di Bilik Maklumat Operasi (BMO) di Madinah turut menzahirkan rasa syukur apabila pertama kali dipilih sebagai petugas TH.

Muhammad Faris berkhidmat sebagai jururawat di Pusat Kesihatan Madinah TH.

Kerani Pentadbiran dan Haji TH dari Kemaman, Terengganu itu mengakui walaupun sedar tugasan ini mencabar, beliau bertekad memberikan khidmat terbaik dan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Tugas saya adalah memastikan gerak kerja semua sektor direkod dengan tepat serta menyimpan semua data, terutamanya maklumat penerbangan jemaah haji.

"Setiap maklumat sektor akan dilaporkan kepada unit berkaitan yang berada di bawah pasukan saya. Ini cabaran besar kerana sebelum ini saya hanya menguruskan jemaah di tanah air,” katanya.

Aizal yang berasal dari Johor berkata, dia sentiasa mengingati pesanan ibu bapanya supaya bersabar dan menjaga emosi ketika menjalankan tugas di Tanah Suci.