KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) meluluskan sebanyak RM2.62 bilion bantuan kewangan bagi aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran sepanjang tahun 2025, meningkat 32 peratus berbanding 2024.
Jumlah itu melibatkan lebih 2.8 juta tempat latihan di bawah program dan skim yang ditadbir HRD Corp, mencatat pertumbuhan tiga peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan peluasan akses latihan di peringkat nasional.
Sektor pembuatan merekodkan jumlah tempat latihan tertinggi dengan lebih 795,000 tempat latihan pada 2025, selari kedudukannya sebagai sektor kedua terbesar penyumbang kepada ekonomi negara dengan sumbangan antara 23 hingga 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Setakat November 2025, sektor itu merekodkan 2.4 juta pekerja merangkumi industri elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta petroleum dan kimia, selain mencatat peningkatan purata gaji dan upah sebanyak 1.1 peratus tahun ke tahun.
Selain sektor pembuatan, HRD Corp turut memberi tumpuan kepada sektor ekonomi digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyumbang 23.4 peratus kepada KDNK pada 2024 dan dijangka meningkat kepada 25 peratus pada 2025.
Di bawah inisiatif Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), HRD Corp meluluskan RM130 juta bantuan kewangan, melibatkan lebih 103,000 tempat latihan merentasi semua sektor ekonomi digital dan ICT.
Pendekatan itu selari keperluan meningkatkan ketahanan tenaga kerja dan daya saing perniagaan, khususnya ketika industri berdepan perubahan teknologi pesat, kekangan bakat serta keperluan pekerjaan yang semakin kompleks.
Dalam usaha memastikan akses latihan yang inklusif, seramai 18,137 rakyat Malaysia menerima manfaat daripada inisiatif pembangunan kemahiran yang dibiayai melalui gabungan geran kerajaan dan dana dalaman HRD Corp.
Antara inisiatif berkenaan ialah Malaysia Indian Skills Initiative (MISI) yang melibatkan 1,108 pelatih daripada komuniti India, dengan 442 pelatih tambahan dijangka dilatih sebagai kesinambungan komitmen pembangunan modal insan inklusif.
HRD Corp turut melaksanakan Program Professional Advancement in Trucking & Haulage (PATH) dengan kerjasama Kesuma dan Kementerian Pengangkutan, menyasarkan 1,000 peserta di seluruh negara bagi memperkukuh tenaga kerja sektor pengangkutan dan logistik.
Program itu memfokuskan latihan pekerja pelabuhan dan pembangunan pemandu komersial melalui pemilikan lesen Kelas E dan Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (GDL) serta kemahiran pemanduan defensif, dengan 156 pelatih berjaya dilatih sepanjang 2025.
Jalin kerjasama dengan CENTEXS
Selain itu, HRD Corp menjalin kerjasama dengan Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) bagi melaksanakan latihan berasaskan kompetensi dan pensijilan selari keperluan pasaran kerja semasa.
Melalui kerjasama tersebut, 427 pelatih berjaya dilatih pada 2025 dengan sokongan majikan yang turut menyediakan peluang pekerjaan.
Bagi memperkukuh kepelbagaian dan keterangkuman dalam ekosistem latihan negara, HRD Corp menerusi Inisiatif Transformasi Pasaran Latihan (TMT) melaksanakan lapan sesi Train-the-Trainer, memberi manfaat kepada 134 orang kurang upaya (OKU).
HRD Corp turut memperluas impak pembangunan komuniti melalui program peningkatan kemahiran, keusahawanan dan TVET, melibatkan 9,929 peserta serta mencapai 4,210 penerima manfaat komuniti melalui aktiviti di Pusat Latihan Pembangunan Kemahiran (PLPK).
PLPK turut melibatkan 39 rakan strategik, sekali gus memperluas penyampaian latihan berasaskan komuniti ke luar pusat bandar utama.
Sempena Pengerusian ASEAN Malaysia 2025, HRD Corp bersama Kesuma melaksanakan ASEAN Year of Skills (AYOS 2025) yang merangkumi tujuh platform utama dengan kerjasama rapat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
AYOS 2025 memuncak dengan penganjuran Global Skills Forum 2025 dan ASEAN Forum of Manpower Ministers for Human Capital Development, yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Pengarah ILO, Gilbert F Houngbo.
Salah satu acara utama HRD Corp, National Training Week (NTW) 2025, mencatat 3,742,300 penyertaan, meningkat ketara berbanding 375,817 pada 2024, selain dibuka kepada penyertaan antarabangsa buat pertama kali.
Dari aspek tadbir urus kewangan, HRD Corp mengamalkan pendekatan pelaburan berasaskan risiko bagi melindungi dana levi serta mengimbangi pemeliharaan modal dan pertumbuhan mampan.
Hasilnya, aset di bawah pengurusan meningkat tiga peratus kepada RM4.16 bilion, dengan pulangan pelaburan sebanyak RM215 juta dan kadar pulangan pelaburan (ROI) 5.35 peratus.
Walaupun mencatat pencapaian ketara pada 2025, HRD Corp mengakui keperluan memperkemas dan menyusun semula fokus bagi tahun 2026, khususnya dalam meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mempercepat pembangunan tenaga kerja Malaysia berkemahiran tinggi.