Belum ada kesan susulan kawalan harga, subsidi telur ayam

Iklan
Muhammad Hafiezudin (kiri) bersama pembantu menyusun telur untuk pelanggan.

KOTA BHARU - Beberapa pemborong dan peniaga telur ayam di sekitar daerah ini mengakui belum terkesan susulan pelaksanaan penamatan kawalan harga dan subsidi telur ayam secara berfasa.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi mendapati, masih banyak telur dijual di kedai dan pasar raya, sekali gus tidak berlaku sebarang masalah atau rungutan pengguna.

Iklan
Iklan

Pemborong telur di Tunjong, Mohd Zaki Abdullah Zawawi berkata, buat masa ini mereka tidak menghadapi masalah kerana telur mencukupi.

Beliau memberitahu, harga telur gred A masih dijual RM12.60 sepapan manakala RM10 untuk gred B.

Iklan

"Bagaimanapun sukar menjangkakan harganya selepas penamatan kawalan harga tetapi mungkin akan meningkat dalam tempoh dua minggu lagi...saya tidak pasti," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Hafiezudin

Sementara itu, penyelia kedai pemborong telur di Bandar Wakaf Che Yeh, Muhammad Hafiezudin Ibrahim berkata, pelanggannya tidak memberi sebarang komen mengenai penamatan subsidi diputuskan kerajaan itu.

Iklan

Beliau berpendapat, harga bahan mentah mungkin bergantung pada kilang selepas kerajaan membuat keputusan itu.

"Buat masa ini, bekalan telur masih banyak termasuk harga untuk gred A dan B menurun selepas seminggu sambutan Aidilfitri," katanya.

Jelasnya, harga telur gred A ialah RM11.70, turun kepada RM11.20 manakala gred B hanya RM9 daripada RM9.30 tetapi untuk gred C dijual pada RM8.40 daripada harga RM7.40.

Peniaga kedai runcit, Norizan Ismail, 40, pula akan menjual harga telur bergantung pada kenaikan atau penurunan ditetapkan pemborong.

Norizan yang mengetahui mengenai pelaksanaan penamatan kawalan harga dan subsidi melalui media sosial mengakui tidak bimbang dengan perkara itu.

"Sebagai peniaga sudah pasti saya akan mengambil untung walaupun ada menjangkakan kemungkinan berlaku kenaikan harga," katanya.

Penjual menyusun telur untuk dihantar kepada pelanggan.

Norizan berkata, keputusan kerajaan tidak perlu dipolitikkan kerana kemungkinan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan harga seperti berlaku terhadap penjualan ayam selepas keputusan sama dibuat.

Media sebelum ini melaporkan kawalan harga dan subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula Khamis sebagai langkah penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji manakala pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Keputusan dibuat selepas mengambil kira komitmen industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, susulan kos pengeluaran stabil.