BUKIT JALIL – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar beberapa pihak yang mengecam dan mempertikaikan usaha kerajaan dalam melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menurut beliau, RUU tersebut penting bagi memastikan rakyat, yang majoritinya terdiri daripada golongan pekerja, dapat memiliki kediaman yang lebih luas dan sesuai untuk isi rumah yang besar.
"Masa ada kuasa, kamu tidak fikir rumah rakyat, kamu timbun harta. Bila hilang kuasa, baru bicara soal hidup Melayu dan martabat rakyat Islam.
"Sebab itu dalam dua, tiga tahun ini, saya, dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), majlis bandaraya dan seluruh jentera kerajaan, akan pastikan jumlah projek perumahan tertinggi dalam sejarah sejak merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang urusan projek pembangunan perlu disegerakan supaya dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
"Kita bangunkan puluhan ribu rumah rakyat di kota dan bandar yang menghadapi kesesakan serta mempunyai keperluan.
"Saya harap para pekerja jalankan kerja dengan ikhlas dan tekun,” ujarnya.