Jangan jadikan penamatan subsidi telur 'lesen' naikkan harga makanan

Iklan
Kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebutir bermula Khamis. Gambar hiasan

KEBERGANTUNGAN masyarakat terhadap telur ayam sebagai sumber protein harian cukup tinggi kerana murah dan mudah didapati.

Ia juga menjadi antara bahan mentah asas perniagaan makanan di restoran dan bakeri.

Iklan
Iklan

Dengan pengumuman mengenai penamatan subsidi telur pada Ogos depan dengan permulaan pengurangan subsidi daripada 10 sen kepada 5 sen sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada harga telur di pasaran.

Sudah pasti kesan langsung dan berantai kepada pengguna akan berlaku sebagai contoh seorang pengusaha kek perlu membeli telur dengan harga sedikit mahal berbanding sebelumnya.

Iklan

Kesan daripada peningkatan tersebut bakal menyebabkan kos meningkat yang akhirnya perlu diserap oleh pengusaha atau terpaksa dikenakan kepada pembeli dengan cara menaikkan harga jualan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr T Saravanan menggesa pemantauan harga runcit telur ayam dilaksanakan di seluruh negara bagi mengelakkan sebarang aktiviti mengaut keuntungan berlebihan.

Iklan

Pandangan sama turut disuarakan Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader yang bersetuju bahawa pemantauan berterusan terhadap harga telur amat penting supaya peniaga tidak menaikkan harga melebihi kesan sebenar penamatan subsidi.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan bukan hanya harga runcit telur naik, tetapi juga harga makanan berasaskan telur naik sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya atas alasan kos telur meningkat.

Ia jelas tidak munasabah, sekiranya harga subsidi telur diturunkan daripada 10 sen kepada lima sen untuk sebiji telur, namun harga makanan berasaskan telur seperti nasi lemak dinaikkan 50 sen atau RM1.

Realitinya, telur hanyalah salah satu komponen dalam penyediaan makanan dan kenaikan harga bahan ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan secara mendadak.

Sehubungan itu, peniaga diingatkan tidak menjadikan langkah penamatan subsidi telur ayam sebagai lesen untuk menaikkan harga makanan sesuka hati mereka, manakala pengguna diminta melaporkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa sekiranya melihat berlakunya sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah.