'Final suram' isyarat jelas Liga-M merosot

Iklan
JDT menepati ramalan menjulang Pala Malaysia 2025, namun jumlah kehadiran penonton pada malam final tersebut menjadikan ia sebagai antara perlawanan akhir paling hambar berbanding musim-musim terdahulu. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

STADIUM yang tidak dipenuhi penyokong semasa aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada Sabtu lalu menjadi isyarat jelas bahawa kepercayaan terhadap liga bola sepak tempatan semakin merosot.

Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, penonton seolah-olah sudah menunjukkan kelesuan minat dan gambaran itu jelas apabila aksi final yang sentiasa dibanjiri penonton menjadi sebaliknya.

Iklan
Iklan

"Stadium yang dahulunya penuh setiap kali final, kini telah berubah. Ini satu isyarat jelas bahawa penyokong makin tawar hati.

"Kepercayaan terhadap sistem bola sepak negara sedang mengalami hakisan yang amat membimbangkan,” katanya.

Iklan

Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM berkata, pelbagai isu yang membelenggu industri bola sepak tempatan seperti tunggakan gaji, peraturan pertandingan, kuota pemain import, isu pengadil, jadual pertandingan yang caca marba serta penarikan diri beberapa pasukan utama dari Liga Super menjadi punca utama krisis kepercayaan ini.

"Jika perkara ini tidak diatasi, bola sepak Malaysia bukan sahaja bakal suram tetapi stadium-stadium bola sepak juga akan bertambah sepi dan akhirnya memberi kesan kepada masyarakat dari segi sosial juga,” ujarnya.

Iklan

Aksi final kali ini hanya berjaya menarik kehadiran 55,552 penyokong — satu angka yang jauh lebih rendah daripada kapasiti penuh Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu menampung 80,000 penonton, sekali gus mencatat kehadiran antara paling hambar berbanding final musim-musim terdahulu.

Menurut Pekan, selain kepercayaan penyokong kepada liga, persepsi penyokong bahawa JDT pasti akan memenangi perlawanan seperti yang diperkatakannya sebelum ini turut menyumbang kepada kemerosotan kehadiran.

"Jadi, tidak dinafikan kita memang tidak melihat 'demam final Piala Malaysia', konvoi penyokong khususnya kepada penyokong Sri Pahang di sepanjang laluan Kuantan ke Gombak sehari sebelum atau pada hari perlawanan berbanding final sebelum-sebelum ini.

"Malah, tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menganjurkan cabutan bertuah juga tidak mampu untuk menarik lebih ramai penonton.

"Saya percaya 99 peratus peminat dan penyokong fanatik bola sepak ini mereka datang ke stadium sebab utamanya adalah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia. Ada ke tidak cabutan bertuah disediakan hanya mereka ini juga yang datang.

"Cabutan bertuah bukan medium yang berkesan sebagai faktor pertambahan jumlah penonton pada aksi final kecuali lah jika hadiahnya sebuah jenama kereta mahal atau hadiah yang sangat lumayan ditawarkan," katanya.