Liverpool sudah kembali temui rentak - Gakpo

Iklan
Gakpo (kanan) turut meledak gol dalam kemenangan besar ke atas West Ham United.

RENTAK cemerlang Liverpool berterusan dengan kemenangan besar 5-2 ke atas West Ham, sekali gus memberi keyakinan kepada pemain Liverpool, Cody Gakpo bahawa kejayaan itu bakal menjadi titik tolak kepada permulaan sesuatu yang indah buat pasukan.

Kemenangan keempat berturut-turut dalam semua kejohanan itu membolehkan Liverpool kini terikat mata dengan Manchester United yang berada di tangga keempat.

Iklan
Iklan

Situasi itu memberi sinar harapan buat penyerang antarabangsa Belanda, Gakpo, bahawa mereka masih mampu menyelamatkan kempen musim ini yang sebelum ini agak mengecewakan.

Jadual padat menanti The Reds apabila mereka dijadual melayan kunjungan Wolves dalam aksi EPL pada Selasa ini, sebelum berdepan lawan yang sama untuk pusingan kelima Piala FA tiga hari kemudian.

Iklan

Mereka seterusnya akan menentang wakil Turkiye, Galatasaray, di pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara minggu berikutnya.

"Ia satu petang yang cukup baik. Langkah demi langkah, kami menjadi sebuah pasukan yang lebih mantap.

Iklan

"Kami melalui saat sukar pada awal musim ini, namun diharap beberapa perlawanan terakhir ini menjadi permulaan kepada sesuatu yang indah.

"Kami bekerja sangat keras, bermula dari babak pertama lagi. Keputusan mungkin 5-2 tetapi perlawanan ini sebenarnya jauh lebih sengit daripada apa yang terpapar. Mereka adalah lawan yang hebat.

"Kami kini menghampiri penghujung musim dan masih berpeluang dalam saingan Liga Juara-Juara dan Piala FA. Masih banyak yang perlu diperjuangkan. Diharap kami dapat mengekalkan momentum ini dan menamatkan musim dengan cemerlang," katanya.

Gakpo turut mengakui keupayaan pasukan memanfaatkan sepakan percuma banyak membantu.

"Bila permainan menjadi buntu dan anda tahu anda boleh menjaringkan gol menerusi situasi set-piece, ia sangat melegakan kerana kami kekurangan sengat (bola mati) itu pada awal musim. Ini perkembangan yang sangat positif," katanya