PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menggesa semua pihak agar menunjukkan lebih rasa hormat selepas insiden segelintir penyokong Leeds United mencemuh pemainnya yang berhenti rehat seketika untuk berbuka puasa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road.
Umat Islam di seluruh dunia ketika ini sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dan beberapa pemain City turut tidak ketinggalan menunaikan kewajipan tersebut.
Bunyi ejekan mula kedengaran pada minit ke-13 perlawanan yang kebetulan serentak dengan waktu matahari terbenam di barat Yorkshire.
Pengadil perlawanan ketika itu menghentikan aksi seketika bagi memberi ruang kepada tiga pemain beragama Islam yang beraksi untuk City berbuka puasa.
Tiga pemain berkenaan, Omar Marmoush, Rayan Aït-Nouri dan Rayan Cherki dilihat segera meneguk air di tepi padang, manakala seorang lagi pemain Muslim City, Abdukodir Khusanov berada di bangku simpanan.
Bercakap mengenai insiden itu selepas tamat perlawanan, Guardiola menegaskan bahawa kepercayaan agama dan kepelbagaian budaya harus sentiasa dihormati.
"Inilah dunia moden, bukan? Lihat sahaja apa yang berlaku di seluruh dunia hari ini.
"Anda perlu menghormati agama dan menghormati kepelbagaian, itu adalah intipatinya. Pihak Liga Perdana telah menetapkan bahawa bagi pemain yang berpuasa, anda boleh meluangkan masa satu atau dua minit untuk melakukannya (berbuka), jadi pemain berbuat demikian. Malangnya, inilah realiti yang berlaku," kata Guardiola.
Sementara itu, kumpulan antirasism dan diskriminasi, Kick It Out turut mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut dan menyifatkan penangguhan seketika untuk berbuka puasa adalah 'protokol yang telah dipersetujui sejak beberapa tahun lalu'.
"Sangat mengecewakan apabila segelintir penyokong Leeds United mencemuh pemain Manchester City ketika mereka berbuka puasa pada separuh masa pertama di Elland Road.
"Ia lebih dikesalkan memandangkan penjelasan mengenai perkara (berbuka puasa) itu telah pun dipaparkan di skrin besar dalam stadium.
"Menghentikan perlawanan bagi membenarkan pemain Muslim berbuka puasa di bulan Ramadan adalah satu protokol yang dipersetujui.
"Ia merupakan satu langkah penting untuk menjadikan sukan ini lebih mesra buat pemain dan komuniti Islam.
"Namun, reaksi pada malam ini membuktikan bola sepak masih jauh ke belakang dari segi pendidikan dan penerimaan," tegas kumpulan itu.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Leeds, Edmund Riemer yang menggantikan Daniel Farke selepas ketua jurulatih itu dilayangkan kad merah akibat bertelagah dengan pegawai perlawanan, turut meluahkan rasa kesal.
"Saya terlalu fokus kepada perlawanan jadi saya tidak begitu mendengarnya, tetapi amat mengecewakan dengan tindakan segelintir penyokong jika ia benar-benar berlaku," katanya kepada Sky Sports.
Aksi tersebut menyaksikan City berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan tunggal Antoine Semenyo.