MELAKA - Lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di tempat pembuangan sampah minggu lalu.
Tertuduh, berusia 62, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 7 pagi di tempat pembuangan sampah Pangsapuri Puteri Kesidang di sini, pada 21 April lalu.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa, Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan memandangkan mereka menetap di kawasan perumahan sama.
Peguam S Suresh yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan seorang warga dan berdepan masalah pendengaran selain menghidap penyakit kencing manis kronik yang memerlukan suntikan insulin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 oleh ahli keluarga terdekat dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan tarikh 19 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan dalam kejadian itu, mangsa yang bersendirian pergi membuang sampah di rumah sampah kemudian menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya sebelum terserempak dengan lelaki itu.
Suspek yang tinggal di tingkat dua mengajak kanak-kanak itu menemaninya ke rumah sampah pangsapuri berkenaan.
Ketika di rumah sampah, suspek telah bertindak mencium pipi, memeluk dan menyelak baju mangsa dan mengajaknya untuk makan bersama namun kanak-kanak itu segera meninggalkan warga emas itu.
Mangsa yang terkejut bergegas ke pondok pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan untuk mendapatkan pertolongan sebelum menceritakan kejadian itu kepada petugas di situ.