Dua wanita jadi ejen panggilan sindiket, terima upah RM2,000 sebulan

Iklan
Dua individu yang ditahan dalam serbuan itu yang ditahan di sebuah kediaman di Cheng Perdana.

MELAKA - Polis Melaka berjaya mematahkan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud dalam talian yang mengenakan kadar faedah 2.88 peratus pada Isnin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka di sebuah kediaman di Cheng Perdana pada jam 1 tengah hari telah menahan dua wanita berusia 25 dan 33 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua wanita tersebut bertindak sebagai ejen khidmat pelanggan dan bertanggungjawab menelefon mangsa menerusi senarai yang diberikan oleh seorang individu tidak dikenali, dengan bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan.

Katanya, mangsa yang bersetuju dengan tawaran pinjaman akan diarahkan untuk memasukkan wang sebanyak RM200 ke dalam 'akaun keldai' sebagai bayaran perkhidmatan.

Iklan

"Sindiket ini mengiklankan tawaran pinjaman wang kepada orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram dan Facebook.

"Menerusi siasatan yang dilakukan, mereka menawarkan pinjaman antara RM10,000 hingga RM60,000, manakala kadar faedah yang dikenakan adalah sebanyak 2.88 peratus," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Iklan

Jelasnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila wang yang dijanjikan tidak dimasukkan ke dalam akaun bank mereka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pinjaman wang yang diiklankan di media sosial serta membuat semakan nombor telefon agar tidak menjadi mangsa sindiket seperti ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.