SEREMBAN - Sebanyak 55 kes kecurian kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) direkodkan di Negeri Sembilan sepanjang tahun lalu melibatkan kerugian RM720,000.
Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli (BN-Linggi) berkata, kes tersebut berlaku di beberapa kawasan panas di Seremban, Senawang dan Rasah.
Bagaimanapun katanya, jumlah kes tahun lalu menunjukkan penurunan 54 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Penurunan bilangan kes kecurian ini adalah hasil daripada tindakan berterusan TM membanteras jenayah ini sama ada di peringkat dalaman TM atau melalui kerjasama dengan pihak berwajib.
"Jenayah kecurian kabel TM memberikan kesan besar kepada masyarakat sehingga mengakibatkan terputusnya hubungan komunikasi," katanya pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ng Chin Tsai (DAP-Temiang) berkenaan kes kecurian kabel TM di Negeri Sembilan.
Menurutnya, kes berlaku turut memberi kerugian ekonomi akibat kos pembaikan yang tinggi dan kehilangan produktiviti, gangguan kepada keselamatan awam dan kesulitan dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.
Jelas beliau, pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh TM bagi membanteras jenayah berkenaan.
"Antaranya penggantian rangkaian berasaskan kabel tembaga kepada kabel gentian optik.
"Langkah ini memerlukan kerjasama pelanggan terutama dari kerajaan negeri yang masih lagi menggunakan talian dari rangkaian kabel tembaga untuk berhijrah kepada talian gentian optik baharu," katanya.
Pada masa sama ujar beliau, pihak keselamatan TM terus melakukan pemantauan dan rondaan secara berterusan bagi mencegah kecurian kabel.
Selain itu katanya, turut ditawarkan ialah hadiah saguhati kepada orang awam bagi menggalakkan mereka membuat laporan jika berlaku kecurian kabel sehingga tertangkapnya pencuri terlibat.
"Secara keseluruhannya, jenayah kecurian kabel memberikan impak besar kepada masyarakat, bukan sahaja dari segi perkhidmatan yang terganggu tetapi juga dalam aspek sosial dan ekonomi yang lebih mendalam.
"Pihak kerajaan, masyarakat dan pihak berkuasa perlu bekerjasama untuk menangani masalah ini melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan juga peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat," katanya.