IPOH - Seramai empat suspek termasuk seorang wanita warga tempatan ditahan selepas disyaki menjalankan perjudian loteri awam secara haram di tiga lokasi berasingan sekitar Ipoh pada Ahad.
Serbuan dijalankan serentak oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah mula aktif sejak tahun 2020 dengan hasil kutipan mencecah RM5 juta sebulan.
Menurut beliau, kesemua tangkapan berusia 40-an hingga 70-an itu merupakan ejen judi yang terlibat secara langsung dengan penganjur.
"Modus operandi ejen ini adalah menjalankan kegiatan penjualan loteri secara bergerak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menjadikan rumah sebagai pusat pengiraan wang hasil loteri.
"Siasatan lanjut mendapati setiap ejen diberikan nilai kredit dalam 'pool' sebanyak RM4 juta setiap bulan oleh penganjur sebagai had pertaruhan loteri awam," katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak pada Isnin.
Noor Hisam berkata, pelbagai peranti elektronik dirampas antaranya dua set komputer, lima telefon bimbit dan sebuah penghala (router).
"Turut dirampas empat kad kredit dan kad debit, empat buku catatan, alat pencetak, kalkulator, 10 slip loteri awam tanpa lesen dan wang tunai sebanyak RM110,119.
"Kita juga berjaya mengenal pasti beberapa sub ejen, ejen dan penganjur sindiket yang masih bergiat aktif di Ipoh," katanya.
Tambah beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 44(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.