Isu Kampung Sungai Baru: Turun jumpa penduduk, jangan hantar ejen - Johari

Iklan
JOHARI

SHAH ALAM – Pemilik syarikat pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru diminta tampil sendiri bersemuka dengan penduduk terjejas bagi membina semula kepercayaan dan mencapai penyelesaian secara menang-menang.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendakwa, penting kepada pemaju untuk tidak lagi berselindung di sebalik orang tengah atau ejen semata-mata.

Iklan
Iklan

"Jangan hantar orang tengah, ejen atau penama. Kita mahu dia sendiri turun, tunjuk muka. Sekarang ini, kita hanya dengar nama sahaja, tetapi tidak tahu siapa.

"Turun dan tunjukkan diri, beritahu 'saya pemilik dan saya boleh buat keputusan',” katanya menerusi sebuah program audio siar yang bersiaran secara langsung pada Ahad.

Iklan

Projek pembangunan di Kampung Sungai Baru melibatkan 382 unit membabitkan 64 lot teres dan 264 unit flat.

Sebelum ini media melaporkan polemik timbul susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.

Iklan
DR ZALIHA

Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pemilik syarikat berkenaan juga perlu memperbaiki reputasi memandangkan masalah yang berlaku berpunca daripada kelemahan dalam perancangan awal mereka.

"Sebenarnya, pemaju ini yang paling bersalah. Sepatutnya, selepas memperoleh persetujuan 67 peratus penduduk, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan mereka sebelum menyelesaikan isu dengan baki 33 peratus yang belum bersetuju.

"Biarkan 67 peratus itu terus tinggal sementara rundingan dengan baki 33 peratus diteruskan walaupun mengambil masa lima tahun, asalkan mereka tidak diusir,” dakwanya.

Johari merujuk kepada 219 pemilik rumah pangsa dan 27 pemilik rumah teres yang telah bersetuju berpindah bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan berkenaan.

Namun, 109 pemilik lain iaitu 72 pemilik rumah pangsa dan 37 pemilik rumah teres kekal menolak tawaran tersebut.

Tambahnya, walaupun pemilik yang bersetuju dijanjikan unit kediaman baharu, pembinaan masih belum bermula dan mereka kini menetap di rumah sewa.

"Selagi pemaju tidak memulakan kerja, selagi itu saya tidak boleh beritahu bila mereka akan dapat rumah baharu," ujarnya.

Sementara itu, Johari berkata, pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah (APT) untuk mengusir 33 peratus penduduk yang tidak bersetuju, namun berdepan pertikaian di mahkamah berhubung nilai pampasan.

Katanya, tindakan terburu-buru itu menyebabkan projek berdepan kelewatan dan pemaju kini belum bersedia untuk memulakan pembinaan walaupun tanah sudah di bawah nama syarikat.

"Mereka sepatutnya bayar pampasan dahulu, soal nak lawan di mahkamah itu perkara kedua. Yang penting, kerja kena mula,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa peguam memaklumkan kepada Johari bahawa perjanjian usaha sama yang ditandatangani antara pemilik dan pemaju menetapkan tempoh lima tahun untuk mendapatkan kelulusan dan empat tahun lagi untuk menyiapkan pembangunan.

Johari turut memaklumkan bahawa pemaju berkenaan sudah memperoleh kebenaran merancang daripada pihak berkuasa.

Beliau turut menghargai perhatian yang diberikan oleh Dr Zaliha terhadap isu tersebut.

"Kita semua mesti pastikan pembangunan ini disegerakan supaya penduduk dapat unit yang dijanjikan.

"Tanah-tanah ini sudah dipindah milik kepada syarikat pemaju. Kalau syarikat ini muflis, 67 peratus yang bersetuju sebelum ini tiada hak untuk menuntut balik tanah mereka kerana hak milik sudah berpindah,” katanya.

Johari juga mempersoalkan nasib 67 peratus penduduk yang telah berpindah sejak tujuh tahun lalu, sedangkan baki 33 peratus masih dalam proses perundangan.

Beliau berharap agar pemaju dapat membina sekurang-kurangnya dua blok pangsapuri terlebih dahulu untuk menempatkan semula penduduk terlibat.

"Pemaju perlu memandang serius perkara ini dan memulakan pembinaan dengan segera bagi menunaikan janji kepada penduduk,” katanya.

Johari turut berharap syarikat berkenaan tidak akan membuat rayuan sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada 33 peratus penduduk yang mempertikaikan nilai pampasan.

"Kalau ikut penilaian, harga tanah itu sebenarnya murah. Jadi, janganlah lengahkan lagi projek ini," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar pemaju bersikap adil kepada rakyat.

"Sama-sama telah melakukan kesilapan. Mungkin pada ketika itu rakyat tidak faham dan tiada pemimpin yang menasihati mereka sebelum berpindah,” katanya.