Amorim minta penyokong bersabar, lihat kembali sejarah EPL

Iklan
Amorim. Foto AFP

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim meminta penyokong yang sedang kecewa supaya mengambil iktibar daripada sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mereka berusaha untuk memulihkan pasukan dan bersaing dengan Liverpool.

Pada hari yang sama Liverpool berjaya menyamai rekod 20 kejuaraan liga milik United dengan menewaskan Tottenham Hotspur, skuad Red Devils hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth, hasil jaringan penyamaan lewat Rasmus Hojlund pada minit ke-96.

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan itu, Bournemouth membuka jaringan menerusi Antoine Semenyo pada minit ke-27.

Namun, kad merah yang diterima Evanilson pada minit ke-70 selepas semakan VAR akibat terjahan lewat ke atas Noussair Mazraoui memberikan kelebihan pemain kepada United.

Iklan

Penyokong United di Stadium Vitality menyanyikan lagu tentang 20 kejuaraan mereka sebagai tindak balas terhadap kejayaan Liverpool yang disahkan beberapa jam kemudian apabila pasukan Arne Slot membelasah Tottenham 5-1 di Anfield.

Liverpool kini mengumpul dua kali ganda mata lebih berbanding United musim ini, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Amorim untuk mengembalikan kegemilangan kelab itu, termasuk dominasi mereka dalam lapan musim awal era EPL.

Iklan

Bercakap mengenai jurang dengan Liverpool, Amorim menyifatkan perkara paling utama adalah fokus kepada pasukan dan sejarah di EPL membuktikan segalanya boleh berubah.

"Saya masih ingat ketika mula-mula menonton EPL, keadaannya berbeza. Jadi, kita perlu percaya bahawa perubahan boleh berlaku. Kita perlu bergerak selangkah demi selangkah, bukan terlalu memikirkan masa depan yang jauh.

"Matlamat utama kami adalah untuk menjuarai EPL. Saya bukan tidak waras, saya sedar itu bukan akan berlaku tahun depan, tetapi kami sedang membina asas kukuh. Perkara kecil sangat penting, dan kami telah melakukannya musim ini.

"Kami perlu teruskan penambahbaikan tahun depan. Kami faham ia amat penting kepada penyokong," katanya.