Kolam takungan pecah: Penyelesaian muktamad sebelum musim tengkujuh - Exco

Iklan
IZHAM

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menjangkakan langkah penyelesaian muktamad berhubung isu kolam takungan Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh dapat dilaksanakan tidak lewat dari suku tahun ketiga 2025 iaitu sebelum musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, proses libat urus penyelesaian jangka panjang itu dilaksana bersama pihak perunding kejuruteraan pemaju dan wakil persatuan penduduk taman berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bagi memastikan penyelesaian yang bakal dilaksanakan bukan sahaja mengambil kira aspek teknikal, namun termasuk sosial dan kemanusiaan bagi penduduk setempat.

"Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kejadian tersebut dan kami memandang serius kebimbangan yang disuarakan penduduk setempat berkaitan keselamatan kolam takungan terutama menjelang musim hujan yang tidak menentu.

Iklan

"Sejurus kejadian, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) telah melaksanakan kerja pembersihan kawasan terjejas, manakala pemaju menjalankan pembaikan sementara ke atas struktur tembok kolam yang rosak dan kini ia dapat menampung aliran air biasa.

"Dalam masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dalam proses memuktamadkan langkah penyelesaian jangka panjang bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Pada 23 April lalu, benteng kolam tadahan air di Taman Seri Alam sekali lagi pecah susulan hujan lebat sekitar 5.30 pagi menyebabkan banjir sehingga menjejaskan 35 kediaman di kawasan perumahan berkenaan.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa bulan selepas insiden sama pada Disember lalu dan merupakan kali ketiga ia terjadi sejak kolam tersebut dibina.

Mengulas lanjut, Izham berkata, selain langkah jangka panjang, beberapa tindakan segera telah dikenal pasti dan dimulakan.

Beliau berkata, antaranya ialah kerja pengorekan dan membetulkan kedudukan perangkap pengutip sampah di dalam kolam takungan tersebut.

"Kerja-kerja ini sedang berjalan rancak di kolam berkenaan sekarang. Kerajaan negeri melalui JPS, MPKS dan agensi teknikal berkaitan berusaha untuk menyelesaikan masalah kolam ini dan memastikan ia tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri memahami keresahan penduduk dan akan memastikan semua langkah mitigasi serta kerja penambahbaikan dilakukan mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan demi kesejahteraan rakyat setempat,” ujarnya.